BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Atlet angkat berat Siti Aqilah Farhana Draman menang pingat perak +86kg wanita | Siasat hasil laporan RCI TH dengan telus, jangan lindungi pihak bersalah - PM Anwar | Mendedahkan laporan RCI TH bukan isu politik picisan tetapi tanggungjawab pelihara kepentingan umat Islam - PM Anwar | Kempen Internet Selamat diperluas ke kawasan luar bandar, tingkat pemahaman rakyat secara menyeluruh - Fahmi | Pendedahan laporan RCI TH bukan strategi PRN, Kabinet sebulat suara setuju laporan didedah - Fahmi | 

Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Beri Manfaat Lebih 4,300 Pekebun Kecil

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Program Insentif Pembiayaan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil 2.0 (TSPKS 2.0) yang dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memberi manfaat kepada 4,364 pekebun kecil persendirian.

Menurut KPK, ia melibatkan kawasan seluas 12,145.51 hektar dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM190.13 juta setakat 30 Jun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu bertujuan membantu pekebun kecil melaksanakan kerja-kerja penanaman semula pokok sawit yang telah melepasi umur ekonomi bagi meningkatkan produktiviti ladang, hasil dan pendapatan.

Ad Banner

Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan program itu, merangkumi RM100 juta pada 2024, RM50 juta (2025) dan RM50 juta (2026).

“Daripada jumlah peruntukan pada 2026, sebanyak RM47.61 juta telah diluluskan kepada 1,133 pekebun kecil sehingga 30 Jun 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan program itu turut menyumbang kepada peningkatan kadar penanaman semula kelapa sawit negara daripada 2.0 peratus pada 2024 kepada 3.4 peratus pada 2025.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Oleh itu, bagi mencapai sasaran kadar penanaman semula sekurang-kurangnya empat peratus setahun menjelang 2030, KPK akan terus memperluaskan TSPKS 2.0.

Antaranya, dengan menggalakkan penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, memperkasakan khidmat Pegawai TUNAS Lembaga Minyak Sawit Malaysia serta meningkatkan penggunaan mekanisasi dan automasi.

Tambah Noraini, penyertaan pekebun kecil secara berkelompok menerusi Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) juga akan terus diperkukuh.

Jelas KPK, penanaman semula merupakan pelaburan penting bagi memastikan hasil yang lebih tinggi, pendapatan yang lebih baik dan meneruskan kelangsungan industri sawit negara.

“KPK kekal komited untuk memastikan industri sawit terus produktif, berdaya saing dan mampan, selain meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil,” katanya.

-- BERNAMA