Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Berikutan Fed AS Kekalkan Kadar
Oleh Karina Imran & Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disokong kelemahan dolar AS selepas Rizab Persekutuan (Fed) mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat sedikit kepada 4.0850/0920 berbanding dolar AS 4.0875/0915 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.57 peratus kepada 100.842 mata selepas Fed mengekalkan kadar sasaran Dana Persekutuan pada julat 3.50 peratus hingga 3.75 peratus.
"Keputusan itu tidak dicapai secara sebulat suara apabila tiga daripada 12 anggota yang mempunyai hak mengundi memilih untuk menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata susulan keputusan Fed itu, jurang antara hasil bon Perbendaharaan AS bagi tempoh dua tahun dan 10 tahun semakin melebar, apabila hasil bon dua tahun susut satu mata asas kepada 4.27 peratus, manakala hasil bon 10 tahun meningkat tujuh mata asas kepada 4.68 peratus.
"Dalam sidang media Pengerusi Fed memaklumkan bahawa kadar pasaran telah meningkat, yang menunjukkan kos modal yang lebih tinggi akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.
"Pada tahap tertentu, ia juga memberi gambaran bahawa Fed mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap hala tuju inflasi pada masa akan datang," katanya.
Mohd Afzanizam berkata setakat ini harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat 6.56 peratus kepada US$84.46 setong dan 8.12 peratus kepada US$90.92 setong susulan AS dijangka melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran selepas pangkalan tenteranya di Jordan diserang.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan ringgit akan terus didagangkan dalam julat sempit dengan kecenderungan untuk mengukuh sedikit berbanding dolar AS.
Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dunia.
Mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 2.5015/5060 daripada 2.4982/5008 ketika ditutup semalam, merosot berbanding euro kepada 4.6843/6923 daripada 4.6561/6606 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4604/4698 daripada 5.4351/4405.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1699/1755 daripada 3.1632/1666 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 12.2002/2266 daripada 12.1971/2138.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 226.0/226.5 daripada 226.1/226.5 ketika ditutup semalam, manakala tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.65/6.67.
-- BERNAMA