KDNK PMKS Malaysia Naik 5.7 Peratus Pada 2025 - DOSM
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) Malaysia naik 5.7 peratus pada 2025, mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan negara sebanyak 5.2 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam penerbitan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana 2025 dikeluarkan hari ini, DOSM memaklumkan bahawa nilai tambah PMKS meningkat kepada RM689.8 bilion pada 2025 daripada RM652.8 bilion pada 2024, menyumbang 39.7 peratus daripada KDNK Malaysia.
DOSM menyifatkan prestasi lebih kukuh itu didorong oleh inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2025, termasuk kemudahan pembiayaan, insentif dan program pembangunan usahawan, bertujuan meningkatkan produktiviti, mempercepat pendigitalan, penggunaan teknologi dan inovasi, serta memperluas akses pasaran untuk PMKS.
Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK PMKS, menyumbang sebanyak 84.5 peratus secara gabungan, diikuti oleh pertanian (8.4 peratus), pembinaan (5.3 peratus) serta perlombongan dan kuari (0.5 peratus).
Pada peringkat sektor, sektor perkhidmatan berkembang 5.7 peratus pada 2025, tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan dalam sektor itu didorong oleh perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta aktiviti penginapan (5.0 peratus); kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.6 peratus); serta pengangkutan dan penyimpanan, dan maklumat dan komunikasi (7.7 peratus).
Sektor pembuatan menokok 4.8 peratus pada 2025, menyederhana daripada 5.0 peratus pada 2024, disokong oleh pertumbuhan dalam makanan, minuman dan tembakau (9.6 peratus); pembuatan lain (4.7 peratus); serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam direka (4.7 peratus).
Sementara itu, sektor pertanian berkembang 1.8 peratus pada 2025, susut daripada 3.1 peratus pada 2024, terutamanya disokong oleh subsektor getah, kelapa sawit, ternakan dan pertanian lain, berkembang 2.3 peratus.
Sektor pembinaan melonjak 12.0 peratus pada 2025, berbanding 17.5 peratus pada tahun sebelumnya, manakala perlombongan dan pengkuarian meningkat 4.4 peratus, berbanding 4.8 peratus pada 2024.
Eksport PMKS menambah 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025, berbanding 29.5 peratus pada 2024.
Peningkatan itu didorong oleh eksport pembuatan dan perkhidmatan, masing-masing berkembang 8.8 peratus (2024: 7.9 peratus) dan 14.0 peratus (2024: 106.6 peratus).
PMKS menyumbang 14.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada 2025, pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar, diikuti oleh perkhidmatan dan pertanian.
Eksport pembuatan oleh PMKS meningkat kepada RM132.7 bilion pada 2025 daripada RM122.0 bilion pada 2024.
-- BERNAMA