BERITA TERKINI   Mendedahkan laporan RCI TH bukan isu politik picisan tetapi tanggungjawab pelihara kepentingan umat Islam - PM Anwar | Kempen Internet Selamat diperluas ke kawasan luar bandar, tingkat pemahaman rakyat secara menyeluruh - Fahmi | Pendedahan laporan RCI TH bukan strategi PRN, Kabinet sebulat suara setuju laporan didedah - Fahmi | Axis REIT beli kompleks perindustrian di Kedah bernilai RM113 juta | Dewan Negara lulus RUU Profesion Kerja Sosial 2026 | 

MICCI Gesa Ahli Tingkat Pelaburan Dalam Bakat, Inovasi Agar Terus Kekal Berdaya Saing

GEORGE TOWN, 30 Julai (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menggesa ahlinya untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan bakat dan inovasi bagi memastikan perniagaan mereka kekal berdaya saing.

Menurut MICCI, ini memandangkan kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan akan terus mengubah industri dan membentuk semula masa depan pekerjaan.

Pengerusi MICCI Cawangan Utara Datuk Brian Tan Guan Hooi berkata kemajuan teknologi mewujudkan cabaran dan peluang perniagaan, selain kemunculan industri baharu serta pekerjaan bernilai lebih tinggi sejajar dengan perubahan dalam peranan pekerjaan tradisional. 

Ad Banner

Beliau berkata syarikat mesti memastikan bahawa tenaga kerja mereka bukan sahaja dilengkapi dengan kelayakan bersesuaian, tetapi juga keupayaan teknikal, kreativiti, kemahiran berkomunikasi dan kemampuan untuk terus belajar serta menyesuaikan diri. 

“AI, automasi dan pendigitalan akan mengubah sifat pekerjaan, tetapi ia juga akan mewujudkan industri baharu serta pekerjaan bernilai lebih tinggi.

“Oleh itu, sistem pendidikan dan latihan kita mesti kekal berhubung dengan keperluan sebenar industri. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kita juga mesti melengkapkan golongan muda bukan sahaja dengan kelayakan, tetapi juga keupayaan teknikal, kreativiti, kemahiran komunikasi dan kesediaan untuk terus belajar,” katanya ketika berucap pada majlis Dialog Makan Tengah Hari Tahunan MICCI Cawangan Utara 2026 di sini hari ini.

Dialog yang bertemakan ‘Beyond 2030: Navigating Global Challenges, Unlocking New Opportunities’ itu turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebagai tetamu kehormat. 

Tan berkata perniagaan perlu melihat cabaran bukan sekadar dalam tempoh jangka pendek, sebaliknya berusaha meningkatkan keupayaan jangka panjang mereka dengan menerima pakai inovasi, melabur dalam sumber manusia dan menyesuaikan diri dengan kepesatan perubahan teknologi.

Tambahnya, keupayaan untuk membangunkan bakat berkemahiran akan menjadi faktor penting dalam menentukan sama ada syarikat boleh merebut peluang baharu dan mengekalkan daya saing mereka dalam persekitaran global yang semakin mencabar.

Pada masa sama, Tan turut meminta agar kerjasama yang lebih erat dijalinkan antara sektor awam dan swasta bagi mewujudkan ekosistem lebih kukuh untuk pertumbuhan perniagaan.

“Kerajaan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dan mewujudkan persekitaran yang tepat, manakala perniagaan membawa masuk pelaburan, inovasi, pengalaman dan peluang pekerjaan.

“Kedua-dua sektor ini tidak boleh mencapai matlamat mereka bersendirian. Oleh itu, kejujuran dan penglibatan yang membina adalah penting,” tambahnya. 

Beliau juga berkata dialog berterusan antara industri dan kerajaan adalah penting bagi memastikan dasar, infrastruktur dan sistem sokongan kekal seiring dengan keperluan perniagaan yang sentiasa berubah. 

Jelasnya, MICCI yang ditubuhkan sejak 1837, meraikan ulang tahun ke-189 tahun ini, dan akan terus berperanan sebagai jambatan antara sektor swasta dan kerajaan untuk berkongsi pandangan industri serta menyumbang penyelesaian yang praktikal.

-- BERNAMA