Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Serantau, Mendatar Berbanding Dolar AS
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding kebanyakan mata wang serantau dan mendatar berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, berikutan keputusan terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang mengekalkan kadar faedah semasa.
Pada 6 petang, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.0875/0930 berbanding dolar AS daripada 4.0875/0915 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan pada jajaran kecil susulan keputusan FOMC itu.
“Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar dana Persekutuan antara 3.50 peratus hingga 3.75 peratus. Bagaimanapun, keputusan itu tidak sebulat suara memandangkan tiga daripada 12 ahli yang mengundi menyokong kenaikan kadar faedah penanda aras itu.
“Ini menunjukkan Fed mungkin cenderung untuk menaikkan kadar faedah semasa mesyuarat FOMC seterusnya pada 15 dan 16 September ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata justeru, dolar AS mempunyai kelebihan berdasarkan tinjauan itu.
“Fed nampaknya dijangka menaikkan kadar faedah, manakala harga minyak mentah yang lebih tinggi boleh menjejaskan penyederhanaan inflasi AS yang dicatatkan pada Jun semasa separuh kedua 2026.
“Ini boleh menjelaskan faktor yang mendorong Indeks Dolar AS kini 0.17 peratus lebih tinggi kepada 101.058 mata,” katanya.
FOMC baru-baru ini bermesyuara pada 28 dan 29 Julai.
Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.5029/5064 daripada 2.4982/5008; susut berbanding euro kepada 4.6863/6926 daripada 4.6561/6606 dan kurang stabil berbanding pound British kepada 5.4691/4764 daripada 5.4351/4405 ketika ditutup pada Rabu.
Sementara itu, ringgit tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1637/1852 daripada 12.1971/2138 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 225.7/226.0 daripada 226.1/226.5 semalam.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.65 daripada 6.65/6.67 namun, rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1701/1746 daripada 3.1632/1666.
-- BERNAMA