BERITA TERKINI   Kempen Internet Selamat diperluas ke kawasan luar bandar, tingkat pemahaman rakyat secara menyeluruh - Fahmi | Pendedahan laporan RCI TH bukan strategi PRN, Kabinet sebulat suara setuju laporan didedah - Fahmi | Axis REIT beli kompleks perindustrian di Kedah bernilai RM113 juta | Dewan Negara lulus RUU Profesion Kerja Sosial 2026 | Bursa Malaysia pertimbang insentif pertingkat penyertaan dalam program MyValue Up, kekal fokus kepada penciptaan nilai jangka panjang - CEO | 

Bursa Malaysia Lancar Pelan Hala Tuju Strategik 2027-2030 Pada Suku Keempat 2026

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd dijangka melancarkan pelan hala tuju strategik bagi tempoh 2027-2030 pada suku keempat tahun ini yang menggariskan inisiatif untuk mempercepat pertumbuhan pasaran, mempelbagaikan aliran pendapatan serta memperkukuh daya saing jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata pelan yang dalam proses dimuktamadkan itu, turut menetapkan haluan strategik Bursa Malaysia susulan berakhirnya tempoh pelan semasa 2024-2026.

“Kami sudah mula mengusahakannya sejak akhir 2025 dan sedang memuktamadkan pelan strategik 2027-2030 itu yang dijangka dapat dilancarkan pada suku keempat ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat prestasi kewangan Bursa Malaysia bagi separuh pertama 2026 hari ini.

Ad Banner

Menjelaskan selanjutnya, Fad’l berkata pelan itu juga dirangka sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang menumpukan aspek mempercepat peluang pertumbuhan berasaskan data, digital dan teknologi bagi mengembangkan lagi hasil bukan dagangan Bursa Malaysia. 

Pada masa sama, beliau berkata Bursa Malaysia turut meninjau peluang dalam bidang baharu seperti tokenisasi, perluasan tawaran perkhidmatan pasca dagangan selain menilai kerjasama strategik untuk meningkatkan jangkauan agihan serta mempercepat peluang pertumbuhan baharu.

Bertepatan dengan sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan, beliau berkata bursa turut merancang untuk memperluas rangkaian dana dagangan bursa (ETF), termasuk ETF mata wang digital.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Aspek lain adalah meneruskan usaha membina saluran penawaran awam permulaan (IPO) yang kukuh, khususnya penyenaraian berskala besar yang dapat meningkatkan kedalaman pasaran, kecairan serta minat pelabur, kata beliau.

Fad’l berkata Bursa Malaysia akan terus memajukan agenda kemampanan dengan penekanan ketara terhadap usaha penyahkarbon selain meningkatkan pengalaman pelanggan dan penglibatan pasaran menerusi inisiatif bersasar berteraskan pelanggan, termasuk pembangunan aplikasi mudah alih MyBursa.

Beliau juga menegaskan bursa itu kekal fokus terhadap usaha memperkukuhkan peranan sebagai sebuah platform utama dari segi pengumpulan dana Malaysia untuk perniagaan di semua peringkat pertumbuhan, memperluas penyertaan kalangan pelabur runcit dan institusi selain memanfaatkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pasaran modal Islam.

-- BERNAMA