BERITA TERKINI   Mendedahkan laporan RCI TH bukan isu politik picisan tetapi tanggungjawab pelihara kepentingan umat Islam - PM Anwar | Kempen Internet Selamat diperluas ke kawasan luar bandar, tingkat pemahaman rakyat secara menyeluruh - Fahmi | Pendedahan laporan RCI TH bukan strategi PRN, Kabinet sebulat suara setuju laporan didedah - Fahmi | Axis REIT beli kompleks perindustrian di Kedah bernilai RM113 juta | Dewan Negara lulus RUU Profesion Kerja Sosial 2026 | 

GWM Malaysia Catat Jualan 3,166 Kenderaan Pada Separuh Pertama, Naik 42.4 Peratus

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- GWM Malaysia (GWM) mencatatkan penghantaran kenderaan tertinggi sebanyak 3,166 unit dalam tempoh enam bulan pertama 2026, iaitu meningkat 42.4 peratus tahun ke tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 11 jenama automatif paling laris di Malaysia. 

Menurut syarikat teknologi pintar itu, momentum jualan terus mengukuh sepanjang separuh pertama tahun ini, meningkat daripada 1,294 unit pada suku pertama kepada 1,872 unit pada suku kedua, iaitu peningkatan 44.7 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi kukuh merentasi portfolio GWM yang pelbagai, termasuk kenderaan elektrik hibrid pasang masuk (PHEV) WEY G9 Hi4, yang mencatatkan sebanyak 707 unit pada suku kedua (suku pertama: 421 unit).

Ad Banner

“Kenderaan elektrik hibrid (HEV) Haval H6 meningkat kepada 895 unit daripada 656 unit, manakala kenderaan elektrik (EV) Ora Good Cat merekodkan pertumbuhan 93 peratus suku ke suku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Operasi Komersial GWM Stan Li Hao berkata prestasi separuh pertama syarikat itu mencerminkan keyakinan rakyat Malaysia yang semakin meningkat terhadap produk, teknologi dan komitmen jangka panjang GWM terhadap pasaran. 

“Menjelang separuh kedua 2026, kami kekal fokus untuk mengembangkan portfolio produk kami, mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dan memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, GWM menjangkakan momentum positif akan berterusan bagi separuh kedua tahun ini, disokong oleh peningkatan penerimaan pengguna terhadap teknologi hibrid, portfolio produk yang berkembang dan persekitaran dasar automotif yang lebih baik.

GWM juga sedang bersedia untuk memperkenalkan GWM Ora 5 HEV dan GWM Haval H7 Hi4 PHEV, manakala GWM Tank 300 HEV dijangka terus memperoleh momentum apabila lebih ramai rakyat Malaysia memilih mobiliti hibrid. 

Selain itu, GWM turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Touch 'n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) bagi menawarkan penyelesaian mobiliti yang lebih pintar dan saling berhubung. 

Menurutnya, kerjasama itu bertujuan menyediakan pengalaman pembayaran tol yang lancar, boleh dipercayai dan selamat kepada pelanggan GWM, selain menyokong aspirasi Malaysia ke arah pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF). 

Kenyataan itu juga menyebut bahawa inisiatif pertama hasil kerjasama itu ialah setiap kenderaan GWM yang ditempah dan didaftarkan bermula 1 Ogos 2026, akan dilengkapi dengan tag RFID Berjenama Touch 'n Go x GWM, yang disediakan sebagai kelengkapan standard.

Kemudahan itu akan membolehkan pelanggan menikmati pengalaman pembayaran tol yang lebih lancar, mudah dan tanpa tunai bermula dari hari pertama pemilikan. 

Ketua Pegawai Operasi GWM Roslan Abdullah pula berkata syarikat itu akan terus meneroka peluang bagi meningkatkan pengalaman pemilik menerusi produk, perkhidmatan dan kerjasama strategik yang memberi nilai tambah kepada pelanggan. 

“Kerjasama dengan Touch 'n Go mencerminkan komitmen itu dengan menggabungkan inovasi automotif dengan penyelesaian mobiliti digital untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih berhubung, mudah dan lancar,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Praba Sangarajoo berkata syarikat itu berbesar hati untuk bekerjasama dengan GWM, dan berharap dapat memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, tanpa tunai dan selamat kepada pelanggan, sambil menyokong aspirasi mobiliti digital Malaysia. 

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, GWM akan melancarkan kempen pelanggan di seluruh negara bermula 1 Ogos hingga 30 September 2026. 

Ia terbuka kepada semua pelanggan yang menempah kenderaan GWM baharu sepanjang tempoh kempen tersebut dan melengkapkan pendaftaran selewat-lewatnya pada 30 September 2026. 

-- BERNAMA