MMIS, Syarikat Tersenarai Di Pasaran LEAP Sasar Pindah Ke Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- MMIS Bhd bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE Bursa Malaysia menerusi langkah yang akan melibatkan tawaran keluar secara tunai daripada lima pemegang sahamnya (pembuat tawaran bersama).
Menurut syarikat sektor industri dan pembuatan itu, lembaga pengarah MMIS, kecuali pengarah yang berkepentingan, membuat keputusan itu selepas menerima surat permohonan daripada pembuat tawaran bersama.
Pembuat tawaran bersama itu adalah pengarah syarikat Loh Chin Soon, Loh Chin Siang dan Law Woo Hock serta dua individu lain yang meminta MMIS mempertimbangkan untuk menarik balik penyenaraiannya daripada Pasaran LEAP dan seterusnya disenaraikan di Pasaran ACE.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan, bagi memudahkan pemindahan itu, pembuat tawaran bersama telah mencadangkan tawaran keluar secara tunai melalui tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat awal untuk semua saham MMIS yang masih belum dimiliki mereka.
Pada masa ini, pembuat tawaran bersama itu telah memiliki kira-kira 84.95 peratus kepentingan ekuiti dalam MMIS.
Menurut MMIS, lembaga pengarahnya, kecuali pengarah yang berkepentingan, telah melantik Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd sebagai penasihat bebas untuk memberi bimbingan dan cadangan kepada pemegang saham syarikat mengenai cadangan itu, termasuk menilai sama ada tawaran keluar itu adalah adil dan munasabah.
Syarikat itu mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM15 juta yang merangkumi 600 juta saham biasa.
Sebagai sebahagian daripada proses pemindahan penyenaraian itu, MMIS akan melaksanakan tawaran awam saham kepada orang ramai.
Menurutnya, maklumat seperti jumlah saham yang akan ditawarkan, harga terbitan serta kumpulan pelabur yang disasarkan akan ditentukan kemudian.
MMIS memaklumkan bahawa cadangan penggunaan hasil yang diperoleh itu akan ditentukan selepas maklumat mengenai tawaran awam yang dicadangkan, termasuk jumlah dan harga terbitan saham baharu dimuktamadkan.
Menurut MMIS, cadangan pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE itu mencerminkan pertumbuhan syarikat dari segi kekuatan operasi dan keuntungannya.
Cadangan itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2027, dengan syarat semua kelulusan berkaitan diperoleh.
-- BERNAMA