Program Grid Tenaga ASEAN Kini Amat Progresif, PETRA Pantau Projek Sambung Tara Baharu
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Program integrasi tenaga Grid Tenaga ASEAN (APG) kini dinilai berada pada tahap yang amat progresif apabila telah beralih ke fasa pengoperasian bagi pelaksanaan perdagangan tenaga rentas sempadan secara multilateral, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kementerian itu menjelaskan fasa itu diperkukuh melalui penubuhan Pasukan Petugas (Dasar, Kawal Selia dan Teknikal) serta Kumpulan Kerja Kabel Kuasa Dasar Laut mengikut rangka kerja “Enhanced MoU on APG” bagi menetapkan pelan kerja dan piawaian teknikal serantau.
“Selaras dengan perkembangan tersebut, infrastruktur grid Malaysia kini berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik untuk menyokong eksport dan import tenaga serantau.
“Komitmen strategik ini diterjemahkan melalui mandat yang diberikan kepada Malaysia selaku Pengerusi Pasukan Petugas Kawal Selia APG dan Penyelaras Kumpulan Kerja Teknikal Kabel Kuasa Dasar Laut,” menurut PETRA dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Ng Keng Heng mengenai penilaian terkini program integrasi tenaga APG dan kesiapsiagaan infrastruktur Malaysia serta punca kelewatan Fasa 3 Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
PETRA memaklumkan kejayaan Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura Fasa 2 (100MW) telah membuktikan integrasi grid serantau adalah sangat berdaya maju dari segi komersial dan teknikal.
“Bagi menyokong peranan tersebut, PETRA sedang memantau pelaksanaan beberapa projek sambung tara baharu termasuk projek Sarawak ke Semenanjung (sehingga kapasiti 1,000MW),” jelasnya.
Menurut PETRA, selain itu, pihaknya juga memantau projek sambung tara kedua Malaysia-Singapura yang disasarkan beroperasi menjelang 2029 (kapasiti minimum 1,000MW) serta projek sambung tara Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS) (sehingga kapasiti 2,000MW).
Dalam pada itu, PETRA menjelaskan pelaksanaan program Solar Berskala Besar (LSS) 5+ yang dilancarkan pada Mac 2025 dengan kapasiti sekitar dua GW telah berjalan dengan lancar dan seperti yang dijadualkan.
Program tersebut dijangka mula beroperasi pada 2028, tambahnya.
“Selain itu, PETRA baharu sahaja melancarkan program LSS 6 pada 16 Julai, 2026 dengan kapasiti berjumlah 2,650 megaWatt dan sistem penyimpanan tenaga sebanyak 1,250 megaWatt,” jelasnya,
Mengenai NETR, PETRA akan terus memperkukuh pelaksanaannya melalui pembangunan dasar, mekanisme pasaran dan pelaburan strategik bagi memastikan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu dapat dilaksanakan secara mampan.
Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, menurutnya.
-- BERNAMA