Perodua Turunkan Harga Axia, Kongsi Manfaat Penjimatan Operasi Dengan Pelanggan
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia iaitu kenderaan kompak mampu milik dan menjadi pilihan mobiliti utama di negara ini, sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta-merta.
Menurut syarikat automotif nasional itu dalam kenyataan hari ini, langkah itu dilaksanakan berikutan peningkatan berterusan kecekapan operasi syarikat dan usaha Perodua mengukuhkan komitmennya untuk membantu pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.
Harga baharu itu menyaksikan Axia 1.0G menerima pengurangan harga terbesar sebanyak RM4,700, diikuti 1.0X (RM1,500), 1.0SE (RM1,000) dan 1.0AV (RM500).
Pengurangan harga itu melibatkan Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata harga baharu itu adalah antara usaha berterusan kumpulan untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan sama.
Menurutnya kesemua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah dan penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya daripada penambahbaikan proses dan kecekapan operasi.
“Pengurangan harga yang dibuat ini adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi kami dalam ekosistem automotif.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama, bukan sahaja pemain industri malah seluruh rakyat Malaysia,” kata Zainal Abidin.
Menurut Perodua, sebagai kereta mampu milik di Malaysia, Axia telah terbukti menjadi kenderaan yang dipercayai rakyat Malaysia.
Menurutnya pelarasan harga itu mengukuhkan komitmen Perodua untuk memastikan model kereta berkenaan boleh diakses lebih ramai pelanggan di seluruh negara.
-- BERNAMA