AMS Advanced Material Peroleh Lesen Perniagaan Sisa Aluminium Di Johor
BUKIT MERTAJAM, 3 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh AMS Advanced Material Bhd, AMS Ecogreen Sdn Bhd memperoleh semua lesen yang diperlukan bagi memulakan perniagaan sisa besi aluminiumnya di Johor.
Dalam satu kenyataan hari ini, pakar aluminium itu menyatakan perniagaan berkenaan akan melibatkan aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan penjualan sisa besi aluminium.
Jelasnya, operasi perniagaannya akan dijalankan di kemudahan kumpulan di Johor yang mempunyai kapasiti pemprosesan awal sekitar 17 tan sebulan.
AMS Advanced Material membekal dan memproses pelbagai jenis produk aluminium.
Pengarah Urusannya Keh Teng Yang berkata usaha niaga baharu itu melengkapkan operasi sedia ada kumpulan dalam pembekalan dan pemprosesan aluminium selain memanfaatkan pangkalan pelanggan serta rangkaian industri yang kukuh.
"Memandangkan lebih ramai pelanggan kini memberi penekanan yang lebih besar terhadap kecekapan sumber dan pembuatan lestari, kami percaya AMS berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam pasaran kitar semula aluminium yang sedang berkembang ini.
"Selain itu, ia mewujudkan aliran pendapatan berulang tambahan bagi syarikat," tambah beliau.
--BERNAMA