BERITA TERKINI   Institusi pondok perlu didedahkan kepada AI yang berpotensi besar sebagai alat dakwah dan pembangunan umat Islam - PM | Beberapa institusi pondok akan dipilih menjadi perintis tradisi ilmu baharu mengikut pengkhususan, disiplin masing-masing - PM | Beberapa institusi pondok akan dipilih menjadi perintis tradisi ilmu baharu mengikut pengkhususan, displin masing-masing - PM | Kerajaan akan bantu perkemas, martabat institusi pondok termasuk kemudahan fizikal, disiplin ilmu dan pengajian baharu - PM | Op Fella: SPRM rakam keterangan bekas Pengerusi Felda Isa Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept - KP SPRM | 

Pasaran Getah Dijangka Kekal Stabil, Cenderung Turun Sedikit Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka kekal stabil dari segi harga dan permintaan dengan sedikit kecenderungan menurun minggu depan berikutan kos yang lebih tinggi, ketidaktentuan geopolitik serta keseimbangan di antara penawaran dengan permintaan yang masih terkawal.

Pakar industri Denis Low berkata pasaran dijangka kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan yang berterusan dengan permintaan sebahagian besarnya disokong oleh aktiviti pengisian semula stok.

Ad Banner

“Kami mengunjurkan terdapat sedikit turun naik disebabkan kos yang lebih tinggi dan ketidaktentuan tetapi keadaan itu masih boleh diurus memandangkan permintaan lebih tertumpu kepada aktiviti pengisian semula stok berbanding aktiviti spekulatif,” katanya kepada Bernama.

Low menyatakan sektor getah kekal berdaya tahan, disokong oleh dinamik penawaran dan permintaan yang kini berada dalam keadaan seimbang.

“Cuaca stabil manakala pengeluaran lebih daripada mencukupi untuk menampung peningkatan kecil dalam permintaan meskipun berlaku sedikit gangguan bekalan daripada pengeluar di Afrika,” katanya.

Ad Banner

Mengenai keadaan cuaca, Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat di beberapa wilayah manakala ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memaklumkan pasaran getah berpotensi mencatatkan aliran menaik minggu depan didorong oleh kekangan dari segi bekalan yang berpunca daripada keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh Asia Tenggara.

“Harga minyak terus meningkat yang mungkin memberi tekanan kepada kos logistik dan bahan mentah. Penangguhan pengenaan tarif baharu Amerika Syarikat terhadap barangan China juga akan meredakan kebimbangan berkaitan perdagangan,” katanya.

Berdasarkan minggu ke minggu, harga rujukan Getah Mutu Malaysia 20 (GMM20) oleh Lembaga Getah Malaysia susut 21 sen kepada 977.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 4.5 sen kepada 717 sen sekilogram.

Pasaran getah ditutup pada Rabu, 16 September berikutan cuti umum bersempena sambutan Hari Malaysia.

-- BERNAMA