BERITA TERKINI   Institusi pondok perlu didedahkan kepada AI yang berpotensi besar sebagai alat dakwah dan pembangunan umat Islam - PM | Beberapa institusi pondok akan dipilih menjadi perintis tradisi ilmu baharu mengikut pengkhususan, disiplin masing-masing - PM | Kerajaan akan bantu perkemas, martabat institusi pondok termasuk kemudahan fizikal, disiplin ilmu dan pengajian baharu - PM | Op Fella: SPRM rakam keterangan bekas Pengerusi Felda Isa Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept - KP SPRM | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Kecil Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Ringgit berkemungkinan diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan dengan tumpuan pasaran dihalakan kepada ucapan beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed), kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini berikutan penganjuran beberapa siri perkongsian oleh pegawai berkenaan dengan masyarakat awam.

Ad Banner

Berikutan itu, lebih banyak isyarat atau maklumat dijangka diperoleh daripada pandangan mereka seperti tempoh sejauh mana risiko kenaikan harga minyak ini akan bertahan, katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata unjuran terkini Fed itu juga menunjukkan kemungkinan kenaikan sebanyak 25 mata asas lagi bagi 2026.

“Sehubungan itu, kita dapat melihat tahap kecenderungan kenaikan itu dalam beberapa bulan ini.

Ad Banner

“Atas alasan itu juga, ringgit dijangka kekal diniagakan berhati-hati pada minggu depan dalam julat RM4.06 hingga RM4.09 (berbanding dolar AS) minggu depan,” katanya.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.0795/0840 daripada paras 4.0685/0725, seminggu sebelumnya.

Namun, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama pada minggu ini.

Ini termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.4543/4603 daripada 5.4961/5015 minggu lepas, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5829/5860 daripada 2.6400/6428 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6849/6901 daripada 4.7178/7225.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.1933/1971 daripada 3.2091/2125 seminggu sebelumnya, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2383/2562 daripada 12.3072/3241 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 229.7/230.0 daripada 231.0/231.3.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.49/6.50 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA