Malaysia Sedia Pacu Pertumbuhan Sektor Hartanah Susulan Peralihan Struktur Serantau --jll
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia kini muncul sebagai penerima manfaat utama daripada perubahan struktur di Asia Tenggara apabila rantau ini beralih daripada pemulihan kitaran ekonomi, menurut Jones Lang LaSalle IP Inc (JLL).
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan hartanah komersial dan pengurusan pelaburan global itu memberitahu Malaysia berada pada kedudukan unik untuk memanfaatkan aliran integrasi rentas sempadan dan kepelbagaian industri yang sedang merancakkan semula lanskap hartanah serantau.
Menurut firma itu, trajektori pertumbuhan Malaysia semakin dipacu oleh hubungan rentas sempadan dan perindustrian yang strategik dengan beberapa perkembangan meletakkan negara ini di barisan hadapan dalam peluang sektor hartanah serantau.
“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura merupakan pembangunan rentas sempadan paling menonjol di rantau ini yang berpotensi menyusun semula fungsi ekonomi di kedua-dua belah sempadan serta menyokong permintaan merentasi sektor perindustrian, komersial, kediaman dan logistik.
“Johor juga kini muncul sebagai pusat pusat data global yang berpotensi, memanfaatkan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai pusat infrastruktur digital serantau,” jelasnya.
Firma itu menyatakan sedemikian dalam laporan yang bertajuk, "Perancangan untuk Dunia Multipolar: Asia Tenggara - Bersedia untuk Pertumbuhan".
JLL menambah projek Pulau Silikon di Pulau Pinang mengukuhkan lagi peranan penting negeri itu dalam industri bernilai tinggi manakala negeri-negeri berhampiran termasuk Kedah dan Perak berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada limpahan permintaan berikutan kekangan tanah.
Sementara itu, firma berkenaan memaklumkan keterhubungan rel yang lebih baik di Greater Kuala Lumpur memperluas kawasan pasaran sasaran bagi pembangunan perindustrian dan pembandaran manakala ibu negara berkembang dalam sektor inovatif termasuk aeroangkasa.
Ketua Penyelidikan dan Penasihat JLL bagi Asia Tenggara Dr Yang Liang Chua berkata Malaysia mencerminkan peralihan yang sedang berlaku di seluruh Asia Tenggara iaitu peralihan daripada tumpuan kepada sebuah bandar utama kepada pertumbuhan berteraskan rangkaian dan koridor ekonomi.
“Paksi Johor-Singapura bukan sekadar mewakili kerjasama rentas sempadan tetapi juga mencerminkan penstrukturan semula secara asas mengenai bagaimana aktiviti ekonomi boleh diagihkan merentasi sistem yang saling berhubung,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan dan Penasihat JLL Malaysia Yulia Nikulicheva berkata ekosistem Malaysia yang pelbagai menjadikan negara ini menarik kepada pemain antarabangsa utama yang mencari pelaburan jangka panjang serta kepelbagaian risiko di rantau ini.
“Ekosistem berkenaan merangkumi pakej insentif menarik untuk syarikat baharu, rangkaian utiliti yang boleh dipercayai, tenaga kerja berkemahiran, sistem hak milik tanah berasaskan sistem Torrens serta sistem perundangan yang bebas dan cekap dalam melindungi pelabur,” katanya.
-- BERNAMA