Untung Bersih Suku Pertama Hartalega Melonjak Kepada RM70.03 Juta
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2026 (S1 2026) meningkat kepada RM70.03 juta daripada RM12.61 juta setahun sebelumnya.
Perolehan bagi suku tersebut turut meningkat kepada RM605.75 juta berbanding RM553.10 juta sebelumnya, didorong terutamanya oleh harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi, yang lebih mengimbangi jumlah jualan yang lebih rendah.
Ini sekali gus membantu mengurangkan kesan kos bahan mentah yang lebih tinggi yang timbul susulan konflik di Asia Barat.
Menurut pengeluar sarung tangan itu, walaupun pendapatan dan keuntungan bertambah baik, persekitaran operasi kekal mencabar.
“Lebihan bekalan di dalam industri, persaingan harga yang sengit daripada pengeluar China, kapasiti struktur yang berlebihan dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan memberi kesan kepada prestasi,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambah Hartalega, syarikat itu kekal optimis dan berwaspada mengenai prospek jangka panjang industri sarung tangan global susulan peningkatan kesedaran mengenai kebersihan, akses penjagaan kesihatan yang meningkat di pasaran baharu muncul dan permintaan yang terus melebihi tahap prapandemik.
“Stok simpanan ketika era pandemik yang berjaya dihabiskan telah membawa kepada tahap inventori pelanggan yang lebih baik, walaupun corak pesanan kekal tidak sekata dan keadaan pemulihan berbeza-beza mengikut pasaran,” tambahnya.
Oleh itu, menurut Hartalega, ia menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku tersebut walaupun ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dan keadaan industri yang mencabar.
“Keputusan yang lebih kukuh ini disokong oleh ASP yang lebih tinggi, pengeluaran yang cekap dan lebih baik, kos pengeluaran unit yang lebih rendah, pengurusan kos yang berdisiplin, yang membantu mengurangkan kesan kos input yang lebih tinggi serta turun naik pasaran,” tambahnya.
-- BERNAMA