BERITA TERKINI   Vantris Energy peroleh kontrak bernilai RM830 juta bagi pengangkutan, pemasangan dan perkhidmatan pelantar penggerudian di Malaysia | 

Ringgit Diunjur Purata RM4.01 Berbanding Dolar AS, RM4.03 Menjelang Akhir 2026

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Mata wang ringgit diunjur mencecah paras purata pada RM4.01 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2026 dan berpotensi menyusut kepada RM4.03 menjelang akhir tahun ini.

Menerusi nota penyelidikannya hari ini, MBSB Investment Bank Bhd menyatakan keadaan itu disokong oleh jangkaan kemasukan semula dana asing ke pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia pada akhir tahun ini.

Pada masa sama, bank pelaburan itu mengunjurkan trajektori ringgit menyusut, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek susulan ketidaktentuan global yang kian ketara, pasaran kewangan yang goyah serta jangkaan berterusan mengenai kemungkinan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah utama negara maju itu yang hanya mengukuhkan lagi nilai dolar AS.

Ad Banner

“Sebarang perkembangan ketegangan geopolitik global yang memuncak serta inflasi kekal tinggi hanya memacu aliran pelaburan ke arah aset selamat di AS dan inflasi turut mendorong pendirian Fed untuk mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh lebih lama.

“Namun sebaliknya, pertumbuhan eksport yang kukuh serta lebihan dagangan yang terus melebar akan menjadi asas bagi sokongan terhadap ringgit,” menurutnya.

Bagi kemajuan masa depan, bank pelaburan itu mengunjurkan sebarang pengukuhan lanjut ringgit adalah bergantung kepada sejauh mana tekanan inflasi sedia ada dapat terus mereda.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, ini terutama membabitkan tindakan Fed berkaitan kenaikan kadar faedah bagi tujuan pelarasan semula berbanding kitaran mengetatkan dasar monetari secara agresif.

Bersandarkan alasan itu, MBSB IB menjangkakan risiko inflasi serta ketegangan geopolitik semasa kekal sebagai faktor utama dalam mempengaruhi unjuran makroekonomi yang dinilai oleh pihaknya.

-- BERNAMA