Malaysia Perlu Perluas Peluang Pelaburan Selain Pusat Data Tarik Modal Global
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu melangkaui tumpuan kepada pusat data dengan membangunkan lebih banyak syarikat teknologi tersenarai berskala besar bagi menarik pelaburan portfolio global, kata Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Bhd Munirah Khairuddin.
Beliau berkata meskipun peluang baharu terus berkembang dalam bidang seperti kabel dasar laut, menara transmisi dan teknologi blockchain, Malaysia perlu melahirkan syarikat teknologi tempatan yang mempunyai skala mencukupi untuk mendapat perwakilan yang lebih besar dalam indeks ekuiti global.
"Kita menunjukkan prestasi yang baik dalam semikonduktor, tetapi adakah syarikat-syarikat ini boleh mencapai permodalan pasaran yang lebih besar? Kita perlu membangunkan syarikat teknologi tersenarai yang mampu membawa pemberat lebih tinggi dalam indeks ekuiti global," katanya kepada pemberita di luar persidangan The Invest Shariah 2026 di sini hari ini.
Persidangan bertemakan "Ethical Investing in a Digital and Volatile World" itu dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia dan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Perwakilan Sektor Teknologi Malaysia Masih Rendah Berbanding Negara Serantau
Memetik MSCI AC Asia Pacific Islamic Index, Munirah berkata sektor teknologi maklumat merangkumi 51.1 peratus daripada indeks penanda aras itu, berbanding kira-kira satu peratus dalam Indeks FBM EMAS Shariah Malaysia, mencerminkan penyertaan yang terhad syarikat teknologi tempatan.
Ini berikutan syarikat teknologi Malaysia yang masih kecil mengehadkan representasi negara dalam indeks ekuiti global, sekali gus menjejaskan keupayaan menarik aliran masuk modal portfolio antarabangsa yang lebih besar, katanya.
Justeru, cabaran ketika ini ialah bagaimana untuk menarik syarikat teknologi yang lebih besar untuk melabur bersama, dengan syarikat tempatan menerajui projek yang berpotensi disenaraikan secara berasingan atau meningkatkan permodalan pasaran syarikat sedia ada, katanya.
Munirah berkata kewujudan lebih banyak syarikat teknologi berdaya saing akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks global, sekali gus menjadikan pasaran tempatan lebih menarik kepada pelabur antarabangsa yang mencari peluang pertumbuhan.
"Kalangan pelabur global melihat kepada syarikat yang berkembang dan turut memberi perhatian kepada indeks, sedangkan penyertaan Malaysia mungkin masih belum cukup besar.
"Kita mungkin mempunyai prospek pertumbuhan yang menarik, tetapi mungkin kita memerlukan lebih banyak lagi. Satu atau dua tawaran awam permulaan (IPO) teknologi masih belum mencukupi," katanya.
Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dalam membangunkan ekosistem teknologi berdaya saing global, khususnya dalam industri semikonduktor.
Katanya, perwakilan gabungan sektor teknologi Korea Selatan dan Taiwan dalam indeks serantau mengatasi China walaupun ekonomi negara itu jauh lebih besar.
"Saya fikir kita mempunyai peluang untuk belajar kerana kita berada dalam kedudukan kompetitif di ASEAN," katanya.
AI, pendigitalan dan kesihatan pacu trend pelaburan jangka panjang
Mengenai trend pelaburan global, Munirah berkata kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan penjagaan kesihatan merupakan antara pemacu pertumbuhan pelaburan global dalam jangka panjang.
Katanya, AI kini mengubah pelbagai industri melangkaui sektor teknologi termasuk bioteknologi, penjagaan kesihatan dan logistik, manakala perubahan demografi membuka peluang baharu kepada pelabur.
"Seluruh dunia semakin menua. Malaysia akan menjadi negara menua menjelang 2030, manakala Thailand dan Singapura sudah berada dalam kategori itu. Penjagaan kesihatan, bioteknologi dan sains hayat semuanya akan dipacu oleh AI," kata beliau.
Sehubungan dengan itu, katanya kepentingan pendigitalan tidak boleh dipandang ringan, dengan penggunaan teknologi awan menjadi asas penting kepada pembangunan AI.
"Berapa banyak syarikat yang datang ke Malaysia menggunakan teknologi awan? Sangat sedikit. Teknologi awan ialah asas kepada AI. Tanpa asas digital itu, sukar untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi AI," katanya.
Munirah berkata sektor logistik turut berkembang seiring pendigitalan dan e-dagang, dengan peningkatan permintaan terhadap gudang moden, automasi, robotik serta kemudahan penyimpanan terkawal suhu.
Malaysia berpotensi manfaat gelombang AI
Sementara itu, Munirah berkata kepelbagaian portfolio pelaburan kini bukan lagi sekadar untuk mengurangkan risiko, tetapi memastikan pelabur mempunyai pendedahan kepada sektor pertumbuhan struktur.
Malaysia juga berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan gelombang pelaburan AI, disokong perkembangan industri semikonduktor dan ekosistem pusat data yang semakin berkembang.
Bagaimanapun, beliau berkata pengekalan piawaian yang tinggi, pemodenan industri dan pembangunan bakat menjadi faktor penting dalam usaha menarik lebih banyak modal asing.
"Ia sebenarnya berkaitan dengan piawaian. Apabila kita mahu menarik modal ke negara ini, ia bergantung kepada piawaian, pemodenan dan bakat," katanya.
-- BERNAMA