BERITA TERKINI   Vantris Energy peroleh kontrak bernilai RM830 juta bagi pengangkutan, pemasangan dan perkhidmatan pelantar penggerudian di Malaysia | 

MNRB Akan Jual Unit Takaful Ikhlas Kepada Anak Syarikat Bank Rakyat Dengan Harga RM1.64 Bilion

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd bercadang menjual 100 peratus kepentingan ekuitinya dalam unit milik penuhnya, Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS Family) dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS General) kepada Rakyat Nominees Sdn Bhd dengan harga RM1.64 bilion secara tunai, tertakluk kepada pelarasan.

MNRB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian pelaksanaan (IA) dengan Rakyat Nominees dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) berhubung cadangan penjualan itu.

Bank Rakyat merupakan pemegang saham tunggal Rakyat Nominees.

Ad Banner

MNRB memaklumkan cadangan penjualan itu akan menyediakan nilai pelaburan dalam segmen takaful langsung dan utama, membolehkan kumpulan itu mengukuhkan lagi fokusnya dalam perniagaan teras insurans semula dan takaful semulanya.

"Syarikat yakin cadangan penjualan pelaburan itu akan membantu kumpulan MNRB untuk terus fokus pada peluang yang menyokong keutamaan strategik jangka panjangnya, dan sejajar dengan hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan berterusan landskap perkhidmatan kewangan Islam Malaysia," maklumnya.

Setelah cadangan penjualan itu selesai, Takaful IKHLAS Family dan Takaful IKHLAS General tidak lagi menjadi anak syarikat milik penuh syarikat MNRB.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menerusi kenyataan berasingan, Pengerusi MNRB Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat memandangkan ia sentiasa menyemak portfolio pelaburannya bagi memastikan perniagaan dan sumbernya kekal sejajar dengan keutamaan strategik jangka panjangnya.

“Kami percaya cadangan penjualan ini memberi peluang untuk kami membina kekuatan yang saling melengkapi dan menyokong pertumbuhan berterusan Takaful IKHLAS.

"Kumpulan akan terus mengendalikan proses ini dengan teliti dan bertanggungjawab, dengan mengambil kira kepentingan pemegang saham, pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain," katanya.

-- BERNAMA