Malaysia Perlu Lebih Banyak Syarikat Juara Nasional, Pacu Pertumbuhan Serantau -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat yang mampu berkembang daripada perusahaan kepada juara nasional dan seterusnya berstatus sebagai peneraju serantau, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata walaupun mencatat kejayaan dan memaparkan prestasi kukuh, pengiktirafan sedemikian tidak harus menjadi penamat kepada impian lebih besar.

Ini termasuk syarikat yang mempunyai permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion yang telah membuktikan kemampuan menerusi prestasi yang kukuh, katanya.

Ad Banner

“Bagaimanapun, pengiktirafan sedemikian tidak harus menjadi penamat impian (seterusnya). Masih ada pasaran baharu yang perlu ditembusi, keupayaan baharu yang perlu dibangunkan dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

“Pelabur misalnya mempunyai jangkaan yang tinggi dan begitu jugalah impian negara. Ini kerana Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat yang dapat berkembang daripada perusahaan yang ada potensi untuk muncul sebagai juara nasional dan seterusnya menjadi peneraju di peringkat serantau,” katanya ketika berucap pada majlis The Edge Centurion Club 2026 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut mengingatkan perjalanan untuk muncul sebagai syarikat peneraju tidak harus diukur semata-mata menerusi pengembangan atau pertumbuhan pendapatan, sebaliknya turut merangkumi aspek penilaian pasaran lebih kukuh, penyertaan institusi yang lebih mendalam serta keyakinan pelabur yang lebih ketara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Aspirasi sedemikian, kata beliau, menjadi asas bagi Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang bermatlamat mengembangkan pasaran modal Malaysia kepada sekurang-kurangnya RM5.8 trilion menjelang 2030 daripada RM4.3 trilion pada 2025 dengan pertumbuhan dipacu syarikat pelbagai saiz.

“Sesebuah syarikat itu berada pada dua tahap iaitu melangkaui tahap awal dan terus tumbuh ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Amir Hamzah menyifatkan inisiatif seperti Bursa RISE+ dan MY Value Up telah dirangka untuk menyokong syarikat-syarikat yang tersenarai memperkukuh kedudukan dalam pasaran seiring dengan perjalanan untuk terus berkembang.

Beliau berkata Bursa RISE+ misalnya membantu syarikat yang layak mendapat ketampakan atau pendedahan lebih meluas yang dapat menyokong penilaian lebih saksama selain mengurangkan modal, terutama bagi syarikat dengan peluang pertumbuhan yang kurang mendapat perhatian pelabur.

Inisiatif MY Value Up pula menggalakkan syarikat yang tersenarai mengetengahkan strategi pertumbuhan lebih jelas, menetapkan sasaran yang dapat diukur serta mengutamakan peruntukan modal secara berdisiplin selain meningkatkan pendedahan korporat dan penglibatan dengan pelabur. 

“Kedua-duanya memaparkan prinsip yang sama iaitu penilaian lebih tinggi perlu diraih menerusi asas-asas kukuh dan bukannya semata-mata menerusi promosi,” katanya.

Amir Hamzah juga menekankan kepentingan aspek tadbir urus korporat yang baik dan amalan perniagaan beretika yang perlu bergerak seiringan dengan usaha mengejar pertumbuhan.

Beliau berkata ini sejajar dengan tumpuan pelabur yang pada masa ini tidak hanya menilai prestasi kewangan, malah turut meneliti kemampuan syarikat memperuntukkan modal, mengurus risiko serta menjaga kebajikan tenaga kerja sepanjang kitaran perniagaan masing-masing.

-- BERNAMA