Kos Pelaksanaan EU-CBAM Boleh Cecah Kira-kira RM970.7 Juta Pada 2026 -- MITI
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kajian Malaysian Steel Institute (MSI) menganggarkan kos berkaitan pelaksanaan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon Kesatuan Eropah (EU-CBAM) kepada industri besi dan keluli Malaysia boleh mencecah kira-kira RM970.7 juta pada 2026 dan meningkat pada tahun-tahun seterusnya.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selain cabaran, pihaknya turut melihat pelaksanaan EU-CBAM sebagai peluang bagi mempercepatkan transformasi industri negara ke arah pengeluaran keluli rendah karbon yang lebih berdaya saing dan mampan.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa pelaksanaan mekanisme EU-CBAM mulai 1 Januari 2026 memberi implikasi kepada industri berintensiti karbon tinggi termasuk sektor besi dan keluli.
“Mekanisme ini mengenakan kos karbon berdasarkan pelepasan karbon terbenam bagi produk yang dieksport ke pasaran EU,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Sheikh 'Umar Bagharib Ali mengenai EU-CBAM tanpa menjejaskan daya saing industri tempatan.
Menurut MITI, industri besi dan keluli merupakan antara sektor eksport penting negara dengan eksport besi dan keluli Malaysia ke seluruh dunia dianggarkan berjumlah sekitar 6.0 juta tan metrik dengan nilai kira-kira RM24 bilion pada 2025.
Ini termasuk eksport ke EU sebanyak kira-kira 752,000 tan metrik bernilai RM3.23 bilion atau sekitar 12.5 peratus daripada jumlah volum eksport dan 13 peratus daripada nilai eksport keseluruhan.
Bagi menghadapi cabaran tanpa menjejaskan daya saing industri tempatan, kerajaan melalui kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan telah mengambil beberapa langkah strategik.
Menurut MITI ini termasuk memperkukuhkan kesiapsiagaan industri melalui pembangunan sistem Pengukuran, Pelaporan dan Pengesahan (MRV) karbon, mempercepatkan usaha penyahkarbonan industri besi dan keluli melalui peningkatan kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh baharu dan menyediakan sokongan dasar dan kewangan bagi membantu industri melaksanakan transformasi hijau.
Usaha lain adalah meneruskan libat urus dengan EU bagi memastikan pelaksanaan EU-CBAM mengambil kira kepentingan negara membangun serta memastikan akses pasaran yang adil kepada produk Malaysia, menurut MITI.
-- BERNAMA