BERITA TERKINI   PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenalpasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | Gamuda Bhd peroleh projek pembinaan pusat data hiperskala bernilai RM1.71 bilion di Port Dickson daripada syarikat MNC AS | Sindiket edar dadah guna katrij vape tumpas, pelbagai jenis dadah bernilai RM10.68 juta dirampas - Polis Johor   | 

Boustead Sasar Hasil RM30 Bilion Dalam Lima Tahun, Perkukuh Pertahanan

GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Boustead Holdings Berhad (BHB) menyasarkan meningkatkan hasil kumpulannya kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang daripada kira-kira RM12 bilion ketika ini menerusi penstrukturan semula perniagaan yang memberi tumpuan kepada sektor pertahanan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan komersial.

Pengarah Urusan Kumpulan BHB Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata transformasi syarikat itu turut menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam pembangunan produk teknologi pertahanan negara menjelang 2030.

Beliau berkata BHB juga menyasarkan pembangunan kira-kira 400 vendor dalam ekosistem industri pertahanan bagi memperkukuh rantaian bekalan tempatan, sekali gus mewujudkan industri baharu yang mampu menjana nilai ekonomi kepada negara.

Ad Banner

"Kita diberi fokus baharu oleh pemegang saham dan Kementerian Pertahanan, selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara yang dilancarkan pada Januari lepas, untuk memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pertahanan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan komersial.

"Kita mahu memastikan Malaysia memiliki keupayaan dan tahap kesiapsiagaan yang mencukupi untuk menyokong keperluan pertahanan negara, meskipun negara sentiasa mengutamakan keamanan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Boustead 200 Year Journey di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BHB Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengerusi Boustead Hotel and Resorts Sdn Bhd Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ahmad Sabirin berkata BHB turut dipertanggungjawabkan menerajui empat projek strategik pertahanan negara iaitu pembangunan satelit, casis bergolek (rolling chassis) bagi kenderaan berperisai, pengeluaran senjata ringan serta pembangunan sistem pengurusan tempur (CMS).

Selain sektor pertahanan, beliau berkata BHB turut diberi mandat membangunkan projek strategik Batu Cantonment bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang melibatkan pemindahan sembilan kem tentera ke lokasi baharu sebelum kawasan itu dibangunkan sebagai hab komersial baharu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata BHB juga akan terus memperkukuh perniagaan subsidiarinya, termasuk dalam sektor pelancongan dan insurans, bagi menyokong pertumbuhan kumpulan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata segala usaha transformasi yang dilaksanakan syarikat adalah bagi memastikan pulangan terbaik kepada pemegang taruh, khususnya pencarum dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata amanah yang dipikul syarikat itu perlu dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti serta tadbir urus yang baik bagi memastikan kesinambungan organisasi yang telah bertahan selama 200 tahun.

Mengenai pembangunan industri pertahanan, Abdul Aziz berkata BHB akan memperluas kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa bagi memperoleh pemindahan teknologi untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan.

Beliau berkata syarikat itu akan memilih rakan strategik yang benar-benar berkeupayaan bagi memastikan pemindahan teknologi dapat dilaksanakan secara berkesan, sekali gus menyokong sasaran mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam industri pertahanan negara menjelang 2030.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata Boustead menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian Hotel Royal Chulan & Resorts ke peringkat antarabangsa, termasuk ke Madinah dan China, secara berperingkat menjelang ulang tahun ke-200 penubuhan syarikat pada 2028, selepas memperkukuh operasi pengurusan hotel di dalam negara.

Beliau berkata syarikat akan memulakan usaha itu menerusi hotel di Janda Baik, Pahang dan Taiping, Perak bagi membina rekod prestasi serta kepakaran dalam industri perhotelan sebelum membawa jenama Royal Chulan ke luar negara, sekali gus mempromosikan budaya, makanan dan identiti Malaysia.

Norliza pula berkata Boustead telah mengambil alih pengurusan sebuah hotel di Janda Baik dan dijangka memuktamadkan pengambilalihan sebuah lagi hotel di Taiping dalam masa terdekat, selain sedang berunding untuk menguruskan lima lagi hotel di bawah jenama Royal Chulan.

Bagaimanapun, nilai pelaburan itu belum dapat didedahkan kerana masih tertakluk kepada rundingan dan pemeteraian perjanjian.

-- BERNAMA