BERITA TERKINI   Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | MITI cari pendekatan terbaik bagiĀ cadangan levi EV untuk imbangiĀ keperluan infrastruktur pengecasan dengan kepentingan awam - Johari Ghani | PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | Gamuda Bhd peroleh projek pembinaan pusat data hiperskala bernilai RM1.71 bilion di Port Dickson daripada syarikat MNC AS | 

Eksport E&E Malaysia Dijangka Kekal Kukuh Pada Suku Kedua Disokong Pelaburan AI -- CGS International

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka mengekalkan momentum ekonominya pada separuh kedua 2026 didorong oleh kekukuhan sektor teknologi terutamanya kekuatan eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang disokong oleh peningkatan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) global.

Ketua ekonomi dan penyelidikan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus berkata pergerakan eksport E&E Malaysia biasanya agak ketinggalan beberapa bulan berbanding perkembangan dalam sektor teknologi global, bermakna prestasi kukuh eksport ketika ini mencerminkan kemajuan teguh sektor teknologi global pada awal tahun ini.

“Apa yang anda lihat dalam eksport E&E Malaysia hari ini pada asasnya mencerminkan apa yang berlaku di peringkat global beberapa bulan lepas.

Ad Banner

“Walaupun saham teknologi mengalami sedikit penurunan baru-baru ini, asas sektor teknologi secara keseluruhannya kekal kukuh,” katanya kepada pemberita di luar persidangan The Invest Shariah 2026, di sini, hari ini.

Persidangan yang bertemakan “Ethical Investing in a Digital and Volatile World” (Pelaburan Beretika dalam Dunia Digital dan Tidak Menentu) itu dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia dan CGS International Securities Malaysia.

Ahmad Nazmi berkata sektor teknologi Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi yang baik pada separuh kedua 2026, melainkan berlaku penurunan ketara dalam pasaran teknologi global, yang disifatkannya tidak mungkin berlaku.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Saya fikir sektor teknologi Malaysia akan menunjukkan prestasi yang agak baik pada separuh kedua tahun ini. Momentum ini dijangka berterusan sehingga awal tahun depan juga," katanya.

Ahmad Nazmi berpandangan bahawa pelaburan berterusan dalam infrastruktur AI di peringkat global akan membantu mengekalkan permintaan terhadap produk semikonduktor dan elektronik Malaysia, sekali gus menyediakan sokongan kepada eksport negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

Eksport perkhidmatan kembali catat lebihan selepas defisit 15 tahun

 

Selain eksport barangan, Ahmad Nazmi berkata Malaysia juga menyaksikan perubahan ketara dalam eksport perkhidmatan, dengan imbangan perkhidmatan di bawah akaun semasa mencatatkan lebihan bagi beberapa suku berturut-turut selepas kekal dalam defisit sejak 15 tahun lepas.

Beliau berkata peningkatan itu didorong terutamanya oleh perolehan lebih kukuh daripada segmen perjalanan dan pengangkutan yang mencerminkan pemulihan stabil dalam sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi rentas sempadan.

"Ini merupakan perkembangan yang sangat menarik kerana sektor perkhidmatan mengalami defisit sejak 15 tahun lepas. Pemulihan ini sebahagian besarnya didorong oleh sektor pelancongan dan pengangkutan," katanya.

 

Pusat data perlukan kesan limpahan lebih kukuh

 

Mengenai pelaburan, Ahmad Nazmi berkata Malaysia kini perlu menumpukan untuk menarik aliran masuk pelaburan yang kukuh, terutamanya dalam pusat data, yang boleh menjana manfaat ekonomi lebih meluas melangkaui fasa pembinaan.

Walaupun pusat data muncul sebagai enjin pertumbuhan pelaburan yang baharu, namun katanya kemudahan itu sendiri menawarkan pekerjaan yang agak terhad sebaik sahaja beroperasi.

Justeru, katanya,  penggubal dasar perlu memberi tumpuan kepada menarik pelaburan untuk menubuhkan ibu pejabat dan pusat penyelidikan serantau berkaitan AI, sambil menggalakkan penyertaan yang lebih besar pembekal tempatan dalam rantaian nilai pusat data untuk memaksimumkan kesan limpahan.

“Persoalannya ialah apa yang akan berlaku selepas pusat data siap. Tumpuan harus diberikan kepada mewujudkan peluang hiliran melalui aktiviti AI dan meningkatkan penyertaan industri tempatan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Pada masa depan, Ahmad Nazmi menjangkakan landskap pelaburan Malaysia yang lebih jelas susulan jangkaan pengumuman pelan tindakan perindustrian baharu oleh kerajaan pada akhir tahun ini.

Beliau berkata pelan tindakan itu dijangka menyediakan hala tuju yang lebih jelas mengenai sektor keutamaan dan insentif pelaburan, sekali gus menyokong momentum pelaburan bagi tahun-tahun yang akan datang.

 

BNM dijangka kekalkan OPR

 

Mengenai permintaan domestik, Ahmad Nazmi berkata penggunaan swasta dilihat kekal kukuh meskipun pada kadar yang sederhana berbanding paras sebelum pandemik.

Beliau berkata pertumbuhan penggunaan kekal sederhana memandangkan kenaikan gaji masih belum dapat menampung sepenuhnya peningkatan kos sara hidup dan perbelanjaan pendidikan, mendorong isi rumah lebih berhati-hati dalam perbelanjaan barangan bukan keperluan mereka.

"Penggunaan bukan lemah, tetapi sederhana. Kekuatan ekonomi Malaysia ketika ini didorong terutamanya oleh eksport dan pelaburan dan bukannya penggunaan domestik," katanya.

Dalam hal ini, Ahmad Nazmi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah bagi tempoh berbaki tahun ini.

Beliau berkata kadar pertumbuhan ekonomi ketika ini tidak menjamin dasar monetari yang lebih ketat memandangkan tekanan inflasi masih terkawal, dan terdapat juga sedikit justifikasi untuk penurunan kadar memandangkan daya tahan ekonomi yang berterusan.

"Saya fikir BNM berada di kedudukan selesa untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah. Pertumbuhan disokong oleh eksport dan pelaburan dan bukannya ekonomi domestik yang tumbuh terlalu pantas," katanya.

Bank Negara Malaysia mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus pada 9 Julai 2026, meneruskan trend tersebut selepas pemotongan 25 mata asas pada Julai 2025.

Mengenai ringgit, Ahmad Nazmi berkata prospek mata wang tempatan akan terus bergantung sebahagian besarnya kepada perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau menjangkakan BNM dan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah bagi tempoh berbaki tahun ini, dengan kemungkinan Fed akan melonggarkan dasar monetari tahun depan.

justeru beliau mengunjurkan ringgit diniagakan sekitar paras RM3.95 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, dengan sedikit turun naik susulan perkembangan luaran dan ketidakpastian politik tempatan.

"Secara keseluruhannya, prestasi ringgit diunjur kekal mendatar, walaupun tempoh turun naik dijangka berlaku apabila pasaran bertindak balas terhadap perkembangan global," katanya.

-- BERNAMA