Unit Destini Menang Kontrak Pengendalian Paip Minyak Dari Searah Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Destini Bhd, Destini Oil Services Sdn Bhd telah memperoleh kontrak perkhidmatan pengendalian penyambungan paip minyak untuk operasi di wilayah barat di bawah Searah (Malaysia) Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan, Destini berkata kontrak itu, bertarikh secara rasmi 1 Julai 2026, berjalan sehingga 29 Mac 2031.
“Di bawah perjanjian itu, Destini Oil Services akan menggunakan keupayaan teknikal dan aset khususnya bagi memastikan operasi tersebut berjalan lancar serta selamat di seluruh aset Searah (Malaysia),” katanya.
Syarikatnya dan Destini Oil Services berbesar hati kerana terpilih sebagai rakan kongsi yang dipercayai sejak permulaan kerjasama ini dan berharap untuk menyokong kejayaan termasuk pertumbuhan operasi jangka panjang Searah (Malaysia).
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih Destini sepanjang tempoh projek.
-- BERNAMA