BERITA TERKINI   Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | MITI cari pendekatan terbaik bagi cadangan levi EV untuk imbangi keperluan infrastruktur pengecasan dengan kepentingan awam - Johari Ghani | PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | 

Delegasi Eropah, Malaysia Bincang Pembaharuan, Peralihan Hijau Dan Kerjasama

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Delegasi perniagaan Eropah mengadakan beberapa mesyuarat dengan agensi kerajaan Malaysia pada minggu ini bagi membincangkan inisiatif pembaharuan, peralihan hijau serta peluang untuk mengukuhkan kerjasama dua hala.

Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) Chris Humphrey berkata kunjungan selama tiga hari bermula 4 Ogos lepas, membolehkan ahli mendapatkan maklumat secara terus daripada menteri dan pegawai kanan Malaysia mengenai hala tuju dasar, penjelasan peraturan selain memaparkan sokongan terhadap pelaksanaan agenda pembaharuan.

Ad Banner

“Sebagai contoh, sewaktu mengunjungi Kementerian Ekonomi semalam, kami mendapat penjelasan mengenai beberapa pakej pembaharuan yang sedang dijalankan. Kami turut menyatakan sokongan terhadap peralihan hijau Malaysia dan isu pembangunan mampan, ekonomi kitaran serta pendigitalan.

“Hari ini di Kementerian Kewangan pula, kami membincangkan isu kewangan, percukaian, pemerolehan kerajaan serta iklim pelaburan Malaysia. Sentimen adalah amat positif,” katanya kepada Bernama.

Delegasi itu disertai oleh 70 orang serta wakil daripada 25 syarikat Eropah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Lawatan EU-ABC itu bertujuan memperkukuh hubungan dagangan serta pelaburan antara Malaysia dan Eropah menerusi dialog lebih mendalam, termasuk minat syarikat-syarikat Eropah untuk meneroka peluang pelaburan yang merentasi sektor pertumbuhan utama.

Semalam, kumpulan itu menemui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Ini disusuli dengan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Arthur Joseph Kurup; Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.

Esok, delegasi itu dijadualkan bertemu dengan wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selain Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Digital, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut Humphrey, agenda perbincangan termasuk berkaitan prosedur kastam, mempercepat proses pelepasan dan pendigitalan kastam selain bekerjasama dengan JKDM bagi membanteras aktiviti perdagangan haram, khususnya produk tembakau yang merupakan masalah besar di Malaysia.

“Perbincangan di Kementerian Kesihatan pula mengenai bagaimana perniagaan Eropah dapat membantu dari segi sokongan untuk memajukan penjagaan kesihatan Malaysia.

“Ahli kami lebih daripada bersedia untuk membincangkan mekanisme pembiayaan yang inovatif, ketersediaan ubat-ubatan dan usaha menggalakkan penjagaan kendiri,” katanya.

Humphrey juga menyifatkan aspek seperti lokasi strategik, infrastruktur serta jaringan perhubungan, tenaga kerja mahir, sumber asli dan keluasan tanah menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pelaburan Eropah.

Berikutan itu, beliau berkata kalangan pemimpin perniagaan Eropah turut menyambut baik kemajuan berterusan dalam perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-EU dengan kedua-dua pihak menyasarkan dapat dimuktamadkan menjelang 2027.

“Momentum positif itu sebegitu ketara. Setakat ini, empat pusingan perbincangan telah selesai dan pusingan kelima dijadualkan pada September ini manakala keenam sebelum akhir 2026.

“Kami yakin terdapat momentum yang mencukupi bagi memuktamadkan FTA ini menjelang tempoh sama pada tahun depan,” katanya.

Pusingan rundingan seterusnya akan diadakan pada 21-25 September depan di Brussels, Belgium.

EU merupakan antara lima rakan dagang terbesar Malaysia dengan perdagangan dua hala mencecah €48.9 bilion euro pada 2025.

Jumlah itu merangkumi eksport Malaysia ke EU bernilai €30.3 bilion manakala eksport EU ke Malaysia sebanyak €18.6 bilion.

Pada masa sama, Malaysia merupakan destinasi pelaburan utama bagi EU dengan jumlah pelaburan Eropah di Malaysia sebanyak €33.1 bilion pada 2024.

-- BERNAMA