BERITA TERKINI   Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | MITI cari pendekatan terbaik bagiĀ cadangan levi EV untuk imbangiĀ keperluan infrastruktur pengecasan dengan kepentingan awam - Johari Ghani | PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | 

Harga LNG Asia Timur Meningkat Susulan Cuaca Panas, Risiko Geopolitik - Rystad Energy

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Harga gas asli cecair (LNG) di Asia Timur bagi penghantaran Oktober meningkat 0.4 peratus minggu ke minggu kepada US$20.4 bagi setiap sejuta unit terma British (MMBtu) setakat 3 Ogos, didorong risiko geopolitik dan cuaca panas melampau yang terus menyokong permintaan pasaran semerta (spot), menurut Rystad Energy.

Dalam laporan Gas and LNG Market Update, syarikat penyelidikan dan risikan tenaga berpangkalan di Oslo, Norway itu memaklumkan minat pembelian terus meningkat walaupun harga kekal menghampiri paras US$20 bagi setiap MMBtu.

Menurutnya, Bangladesh sedang mendapatkan tiga kargo LNG bagi penghantaran Ogos susulan operasi semula unit penyimpanan dan pengegasan semula terapung (FSRU) Excellence LNG selepas ditutup akibat kebakaran pada pertengahan Julai. India, Thailand dan Taiwan turut giat mendapatkan bekalan LNG.

Ad Banner

Rystad Energy memaklumkan Jepun dan Korea Selatan berdepan kebarangkalian 60 hingga 70 peratus mengalami suhu melebihi purata pada Ogos, sekali gus meningkatkan kemungkinan penyusutan inventori LNG dengan lebih pantas serta mendorong perolehan tambahan dalam tempoh terdekat.

Di Jepun, menurutnya, operasi semula reaktor nuklear Shimane 2 berkapasiti 820 megawatt milik Chugoku Electric ditangguhkan dari 6 Ogos kepada 19 Ogos. Penangguhan itu dijangka meningkatkan pergantungan kepada penjanaan berasaskan gas ketika gelombang haba, sekali gus menambah keperluan import LNG.

Sementara itu, hujan lebat selepas taufan di wilayah Guangdong, selatan China, menurunkan suhu dan meningkatkan penjanaan hidroelektrik, sekali gus mengurangkan permintaan penyejukan serta penggunaan gas bagi penjanaan elektrik, sekali gus meredakan tekanan permintaan LNG di rantau itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Penganalisis Penyelidikan Gas dan LNG Rystad Energy, Antonia Syn, berkata pasaran gas ketika ini dipengaruhi dua faktor utama, iaitu permintaan yang didorong keadaan cuaca dan peningkatan risiko geopolitik.

"Walaupun Presiden Donald Trump menangguhkan rancangan serangan ke atas Iran bagi memberi laluan kepada usaha diplomatik baharu, serangan minggu lalu terhadap kapal pengangkut LNG Gas Log Shanghai serta serangan dron ke atas terminal eksport LNG Damietta di Mesir menunjukkan risiko gangguan bekalan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Dengan Iran menafikan rundingan dengan Amerika Syarikat sedang berlangsung, pasaran dijangka terus sensitif terhadap sebarang perkembangan geopolitik," katanya.

Laporan itu turut menyatakan gangguan di Mesir telah mengurangkan kapasiti import LNG negara itu kepada kira-kira 1.4 juta tan sebulan, lebih rendah daripada import hampir 1.6 juta tan pada Julai. Keadaan itu mengehadkan kapasiti pengegasan semula dan fleksibiliti bekalan ketika LNG amat diperlukan bagi memenuhi permintaan gas pada musim panas.

Di Amerika Syarikat, harga Henry Hub kekal stabil sepanjang minggu lepas dengan meningkat 0.3 peratus kepada US$2.77 bagi setiap MMBtu setakat 3 Ogos. Kenaikan kecil itu didorong cuaca lebih panas dan peningkatan permintaan daripada sektor penjanaan elektrik, yang mengimbangi bekalan kukuh serta penurunan penggunaan gas bagi kemudahan eksport LNG.

-- BERNAMA