Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Tinggi

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya lebih tinggi hari ini selepas sentimen mula melonjak berikutan keuntungan dalam saingannya, minyak kacang soya termasuk belian semasa harga rendah, kata CGS International Futures Malaysia Sdn Bhd. 

Broker derivatif itu melalui satu makluman menjelaskan eksport minyak sawit Malaysia dianggarkan meningkat 15 peratus kepada 1.38 juta tan pada Julai

Ad Banner

Niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago menstabil stabil selepas naik hampir dua peratus pada sesi sebelumnya berikutan pentadbiran Donald Trump mengumumkan dasar biobahan api yang lebih menyokong, yang akan meningkatkan adunan biobahan api ke dalam petrol dan diesel tetapi mengecualikan hanya beberapa kilang penapisan yang lebih kecil daripada mandat campuran itu.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa memberitahu Bernama bahawa peniaga juga sedang menunggu jangkaan pengeluaran Julai Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) yang akan dikeluarkan esok, menjelang laporan bulanan rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Ogos.

Memetik tinjauan perladangan UOB Kay Hian pada Julai, beliau berkata pengeluaran Julai, MSM Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak enam hingga 10 peratus dari bulan ke bulan, dengan pengeluaran di Sabah dan Sarawak diunjurkan menokok satu hingga lima peratus, manakala Semenanjung Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 10 hingga 14 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutupan, kontrak Oktober 2026 meningkat RM6 kepada RM4,702 satu tan, November 2026 bertambah RM12 kepada RM4,745 satu tan, Disember 2026 melonjak RM19 kepada RM4,783 satu tan dan Januari 2027 naik RM23 kepada RM4,817 satu tan.

Manakala, Ogos 2026 susut RM32 kepada RM4,519 satu tan dan September 2026 merosot RM6 kepada RM4,646 satu tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 109,598 lot berbanding 96,435 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 309,063 kontrak daripada 305,012.

Harga MSM fizikal untuk Selatan Ogos pula tidak berubah pada RM4,560 satu tan. 

-- BERNAMA