Kualiti Audit Firma Bertambah Baik, Tenaga Kerja Masih Jadi Cabaran Utama -- Laporan Audit SC
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemantauan Audit (AOB) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati amalan tingkah laku beretika, perundingan, pematuhan dan cabaran profesional firma audit utama berada pada tahap kukuh, mempamerkan budaya berorientasikan kualiti yang mampan di seluruh firma.
Menerusi tinjauan Penilaian Budaya Firma Audit yang merangkumi 4,092 responden merentasi kesemua sembilan firma audit utama, AOB memaklumkan kakitangan lebih cenderung untuk mematuhi keperluan profesional dan kawal selia, mendapatkan panduan tepat pada masa mengenai perkara yang rumit dan membuat pertimbangan secara bermaklumat, sekali gus menyumbang kepada kurangnya risiko berlaku kesilapan audit.
Menurut Laporan Pemeriksaan Tahunan (AIR) 2025 AOB yang dikeluarkan hari ini, tinjauan tersebut mendapati bahawa firma perlu berusaha lebih keras untuk menangani cabaran berkaitan tenaga kerja, terutamanya melibatkan tekanan beban kerja, pengambilan kakitangan, imbuhan, pengekalan bakat dalam kalangan profesional muda serta komunikasi saling menghormati dalam pasukan.
Sehingga 31 Dis, 2025, sebanyak 41 firma audit dan 397 juruaudit individu telah dikawal selia oleh AOB.
Pada 2025, AOB telah memeriksa sebanyak 14 firma audit, 40 juruaudit individu dan 41 tugasan audit merentasi pelbagai industri dan bidang risiko.
Menurut laporan itu, kemajuan menggalakkan dalam kualiti audit, dengan kadar penglibatan audit yang memerlukan penambahbaikan ketara turun daripada 46 peratus pada 2024 kepada 27 peratus pada 2025.
Bagaimanapun, kesilapan berulang masih dilihat berlaku dalam bidang seperti anggaran perakaunan, persampelan, ujian kawalan dalaman dan pengiktirafan hasil.
Sementara itu, laporan AIR memaklumkan beberapa firma audit utama telah mula memanfaatkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong analisis dokumen, penilaian pematuhan dan dokumentasi audit.
Ketika firma meningkatkan keupayaan digital mereka, AOB menekankan kepada kepentingan pengurusan risiko teknologi yang berkesan dan tadbir urus yang sesuai dalam penggunaan teknologi.
AOB menggalakkan firma audit untuk terus memperkukuh tadbir urus, budaya, pemantauan dan proses pemulihan mereka selain memperuntukkan perbelanjaan bagi mendapatkan bakat dan teknologi.
Selain itu, laporan tersebut juga menekankan bahawa audit berkualiti tinggi penting untuk mengekalkan keyakinan terhadap penyata kewangan yang diaudit dan menyokong integriti pasaran modal Malaysia.
Menurut AOB, bagi 2026, ia akan mengutamakan pengukuhan kualiti audit melalui semakan yang disasarkan pada peringkat firma dan libat urus, di samping inisiatif pembangunan kapasiti yang dipertingkatkan.
Di peringkat firma, semakan Piawaian Antarabangsa mengenai Pengurusan Kualiti (ISQM) akan dibuat berdasarkan risiko khusus yang dihadapi setiap firma dan penilaian rangka kerja tadbir urus, budaya, risiko teknologi maklumat (IT) dan fungsi pemantauan firma.
Sementara itu AIB akan memperluas tinjauan Penilaian Budaya Firma Auditnya untuk merangkumi firma lain yang tidak diliputinya pada 2025.
“Di peringkat libat urus, pemeriksaan tematik akan tertumpu pada entiti kepentingan awam (PIE) dengan ciri-ciri berisiko tinggi, seperti pengolahan perakaunan yang kompleks dan bidang yang memerlukan skeptisisme yang tinggi, dengan penekanan lebih besar kepada audit IT.
"AOB akan terus mengeluarkan Peringatan AOB mengenai pembangunan topik dan bekerjasama dengan badan profesional dan pemain industri untuk menyediakan program latihan yang boleh meningkatkan kualiti audit," menurutnya.
-- BERNAMA