Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan Malaysia Naik 2.9 Peratus Pada Suku Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Indeks harga pengeluar perkhidmatan (IHPRP) meningkat 2.9 peratus pada suku kedua 2026 daripada peningkatan 2.1 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Menurut jabatan itu, indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 6.4 peratus, selepas peningkatan 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.8 peratus) dan aktiviti perkhidmatan minuman (3.1 peratus)," jelas DOSM dalam satu kenyataan hari ini.  

Ad Banner

Sementara itu, indeks pengangkutan meningkat 5.6 peratus daripada 3.8 peratus pada suku tahun sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara yang meningkat 17.5 peratus.

 Indeks pendidikan juga berkembang 2.1 peratus selepas peningkatan 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh pendidikan tinggi (1.8 peratus) dan pendidikan menengah (1.7 peratus).

Indeks lain yang mencatatkan kenaikan ialah kesenian, hiburan dan rekreasi serta kesihatan masing-masing meningkat sebanyak 1.6 peratus, diikuti aktiviti hartanah (1.3 peratus) dan profesional (1.0 peratus). 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, indeks maklumat dan komunikasi mencatatkan lonjakan 0.3 peratus daripada 0.1 peratus pada suku tahun sebelumnya disebabkan oleh indeks aktiviti prosesan data, hosting dan yang berkaitan; web portal (0.8 peratus) dan pengaturcaraan komputer, perundingan dan aktiviti berkaitan (0.7 peratus). 

Pada asas suku tahunan, IHPRP mencatatkan 1.1 peratus daripada 1.4 peratus pada suku tahun sebelumnya disumbangkan oleh semua subsektor.

Indeks pengangkutan meningkat 2.0 peratus disumbangkan oleh indeks pengangkutan penumpang udara (11.2 peratus). 

"Indeks kesenian, hiburan dan rekreasi juga meningkat 2.0 peratus manakala indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman  meningkat 1.3 peratus disebabkan oleh restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (1.3 peratus).

"Selain itu, indeks lain yang menunjukkan peningkatan ialah indeks aktiviti hartanah (0.6 peratus), pendidikan (0.5 peratus), kesihatan (0.3 peratus), maklumat dan komunikasi (0.2 peratus) serta profesional (0.1 peratus)," tambahnya.

-- BERNAMA