Tawaran Ambil Alih Unit Batu Kawan Ke Atas MKH Jadi Tanpa Syarat
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Batu Kawan Bhd mengumumkan tawaran ambil alih sukarela oleh anak syarikat milik penuhnya Whitmore Holdings Sdn Bhd ke atas MKH Bhd menjadi tidak bersyarat.
Hal ini selepas pemegang saham syarikat itu meluluskan cadangan pengambilalihan berkenaan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan itu pada 5 Ogos.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bagi pihak Batu Kawan (pembida akhir) menyatakan pengambilalihan peringkat pertama saham MKH diselesaikan pada 3 Jun manakala peringkat kedua diselesaikan pada 9 Jun.
Jelasnya, ini sekali gus meningkatkan pegangan saham Whitmore dalam MKH daripada tiada kepada 29.6 peratus.
“Kumpulan itu turut mengambil alih 18,557,400 saham MKH daripada pasaran terbuka dari 15 Jun hingga 17 Julai.
“Berikutan pengambilalihan pasaran terbuka tersebut, pegangan saham langsung Whitmore meningkat lagi daripada 29.6 peratus kepada 32.8 peratus,” jelas Maybank IB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Berkenaan pengambilalihan peringkat kedua MKH, Maybank IB memaklumkan bahawa urus niaga perniagaan secara langsung bagi perjanjian penjualan saham (SSA) tersebut akan dilaksana dalam tempoh tujuh hari dari hari ini apabila SSA berkenaan menjadi tidak bersyarat.
“Selesai sahaja Pengambilalihan 2 MKH, pegangan saham langsung Whitmore akan meningkat lagi daripada 32.8 peratus kepada 50.9 peratus,” tambahnya.
Menurut bank pelaburan itu lagi, berikutan SSA kini menjadi tidak bersyarat, Whitmore diwajibkan mengemukakan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat untuk memperoleh baki saham mengundi dalam MKH yang belum dimiliki oleh kumpulan tersebut dan Batu Kawan, pada harga tawaran tunai RM2.00 sesaham.
-- BERNAMA