KL20 2026 Tambah Empat Fokus Baharu, Perluas Tumpuan Ke Lapan Sektor - Akmal Nasrullah
PETALING JAYA, 6 Ogos (Bernama) -- Acara Kuala Lumpur 20 (KL20) 2026 akan memperkenalkan empat fokus tambahan, iaitu ekonomi kreatif, ekonomi digital, permainan digital dan sektor ketiga, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata empat fokus tersebut merupakan penambahan kepada empat fokus asal KL20 2024, iaitu teknologi tenaga hijau, teknologi pertanian, pembuatan dan automasi, serta kewangan Islam.
"Perluasan ini selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi, memperkukuh industri berpertumbuhan dan bernilai tinggi serta menghasilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan “Made by Malaysia" (Keluaran Malaysia).
"KL20 merupakan intervensi yang lebih fokus bagi mengetengahkan kekuatan ekonomi Malaysia, di samping meneroka sektor baharu yang berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi pada masa depan," katanya semasa berucap pada Majlis Pra Pelancaran KL20 2026, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata KL20 2026 membawa tema “Activating Malaysia’s Tech Arsenal: An Open Ecosystem, A Focused Mission”, yang menggambarkan sebuah ekosistem terbuka kepada idea, bakat, syarikat dan modal dari dalam serta luar negara, namun dengan misi nasional yang jelas.
Misi tersebut adalah untuk membina lebih banyak syarikat berteknologi tinggi, menggerakkan modal kepada aktiviti produktif serta mempercepat perjalanan syarikat daripada peringkat idea ke pasaran global.
Sementara itu, beliau berkata KL20 2026 akan berlangsung di tiga lokasi strategik iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan kerjasama rakan kolaborasi strategik utama iaitu Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Katanya, siri ini akan bermula dengan KL20 @ Penang 2026, pada 24 September 2026 di Pulau Pinang bertemakan “Silicon Surge” yang memberi fokus kepada sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
“Program itu akan memanfaatkan kekuatan industri di Pulau Pinang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dalam ekosistem reka bentuk cip dan teknologi bernilai tinggi,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata sesi seterusnya, KL20 @ Johor 2026 akan diadakan pada 29 September 2026 di Iskandar Malaysia Studios membawa tema “Creative Reimagined” dengan fokus kepada ekonomi kreatif dan industri permainan digital.
"Kedudukan Johor yang strategik, disokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) membuka peluang untuk membina rangkaian global dalam bidang permainan, animasi, kesan visual, kandungan digital dan teknologi kreatif," katanya.
Siri KL20 2026 akan disempurnakan melalui acara kemuncak, KL20 @ Kuala Lumpur 2026 yang akan diadakan pada 5 November 2026 yang bakal menghimpunkan keseluruhan ekosistem melibatkan pemain industri, pelabur, penggubal dasar dan syarikat pemula untuk membincangkan serta memperkukuh agenda pembangunan merentas kesemua lapan sektor fokus.
Beliau berkata matlamat penganjuran KL20 adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab pemula niaga strategik utama di Asia Tenggara dan meletakkannya dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula terbaik global menjelang 2030.
“Kita tidak mahu Malaysia hanya menjadi pasaran menjual teknologi. Kita mahu Malaysia menjadi negara membina, membiayai, menguji dan mengembangkan teknologi," katanya.
Akmal Nasrullah juga berkata KL20 2026 dianjurkan ketika ekonomi dunia masih berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dalam rantaian perdagangan global, namun perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) telah merancakkan semula kitaran teknologi dunia.
Dalam persekitaran ini, ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
Beliau berkata sektor pembuatan pula berkembang sebanyak 5.9 peratus hasil daripada permintaan terhadap produk E&E dan komponen berkaitan AI.
"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, eksport kasar Malaysia meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.6 bilion," katanya.
-- BERNAMA