Malaysia Kekal Destinasi Pilihan Pelabur Asing Berikutan Persekitaran Perniagaan Kukuh - BMI
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia menawarkan antara persekitaran perniagaan paling kukuh di rantau ini, disokong oleh kerangka fiskal yang mantap, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan pelabur asing, menurut BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions.
Ketua Ahli Ekonomi BMI Cedric Chehab berkata Malaysia juga merupakan antara ekonomi paling pelbagai di rantau ini. Dalam landskap geopolitik global yang semakin berpecah-belah, katanya, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang berkecuali, satu faktor penting yang meningkatkan keyakinan pelabur asing.
Beliau berkata Malaysia turut mencatat pertumbuhan pesat dalam industri pusat data, yang kini muncul sebagai antara sektor paling penting dan dinamik di dunia.
"Ini berlaku kerana koridor ekonomi saling melengkapi antara satu sama lain. Walaupun wujud persaingan, ia merupakan persaingan yang sihat," katanya pada sesi panel bertajuk Advancing National Growth Agenda Through Distinct Economic Corridors sempena RHB Progress Series 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor Natazha Hariss berkata Johor menyasarkan untuk mempercepat pertumbuhan ekonominya, khususnya susulan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelabur domestik dan asing.
"Tahun lepas, kami berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM110 bilion ke negeri ini, sekali gus mencerminkan keyakinan dan kepercayaan pelabur. Namun, perkara paling penting ialah pelaksanaan.
"Kami memerlukan pendekatan baharu terhadap pembangunan infrastruktur, di samping perubahan dari segi pemikiran dan cara bekerja," katanya.
Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam ucaptamanya, berkata walaupun kerajaan mampu menyediakan kepastian dasar dan mengekalkan kerangka fiskal yang berwibawa, pembiayaan inovasi serta pengembangan perniagaan perlu semakin dipacu oleh bank, pelabur institusi, firma modal teroka dan syarikat ekuiti persendirian.
Beliau berkata penerbitan sukuk global turut menjadi penanda aras yang penting dalam menarik pelabur antarabangsa yang ingin mendapatkan pendedahan kepada risiko kedaulatan Malaysia.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia telah lama berhasrat untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, justeru pendekatan business as usual tidak lagi memadai.
"Kita mesti memiliki ketangkasan strategik untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran, mempelbagaikan kerjasama strategik serta membuat keputusan yang mampu melindungi kepentingan negara dalam jangka panjang," katanya.
RHB Progress Series 2026: Roots Run Wide, yang berlangsung pada 5 dan 6 Ogos, menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, pelabur dan pemimpin industri bagi membincangkan transformasi ekonomi Malaysia serta peluang pertumbuhan masa depan.
-- BERNAMA