EcoSys, M&A Securities Meterai Perjanjian Taja Jamin Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Penyedia penyelesaian industri, EcoSys (Malaysia) Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd sebagai persediaan bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd menerusi tawaran awam permulaan (IPO).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 145.70 juta saham baharu yang mewakili 25.5 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan kumpulan itu sebanyak 571.35 juta saham selepas penyenaraian.

Daripada keseluruhan 145.70 juta saham baharu itu, sebanyak 28.56 juta saham atau lima peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dengan 14.28 juta saham diperuntukkan kepada pelabur awam bumiputera dan baki 14.28 juta saham kepada pelabur awam Malaysia yang lain.

Ad Banner

Sebanyak 11.43 juta saham lagi atau dua peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan berkenaan menerusi peruntukan borang merah jambu.

Sementara itu, sebanyak 71.42 juta saham atau 12.5 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Baki 34.28 juta saham atau enam peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan akan diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Tiada tawaran untuk jualan di bawah cadangan IPO tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Ecosys menyatakan M&A Securities akan menaja jamin 40.00 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia dan individu yang layak di bawah peruntukan borang merah jambu.

Baki 105.70 juta saham baharu akan dibuat melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI dan pelabur terpilih oleh M&A Securities dalam kapasitinya sebagai ejen penempatan.

IPO berkenaan dijangka menjana hasil kasar sebanyak RM39.34 juta.

Hasil tersebut akan digunakan terutamanya untuk mengembangkan segmen kawalan pengurangan pencemaran kumpulan melalui pembelian komponen utama dan modul bagi sistem pengurangan berkenaan.

Dana tersebut juga akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, melabur dalam mesin dan tenaga kerja, memperluas kehadiran kumpulan di India, memenuhi keperluan modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian.

EcoSys menyediakan penyelesaian yang menyokong pelbagai aplikasi merangkumi peralatan pembuatan semikonduktor, pengeluaran semikonduktor bahagian hadapan, peralatan pembuatan panel solar fotovoltaik serta sistem bekalan gas industri.

Syarikat itu dan anak-anak syarikatnya memiliki jenama EcoSys serta harta intelek yang berkaitan dengan rangkaian sistem kawalan pengurangan pencemaran CDO, Vector, Marathon dan Guardian miliknya.

EcoSys memperoleh kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 8 Jun, 2026.

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd ialah penasihat kewangan.

-- BERNAMA