Penganjuran M360 ASEAN 2026 Di Kuala Lumpur Bakal Perkukuh Sektor Digital Malaysia - Fahmi
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah acara M360 ASEAN 2026 pada 9 dan 10 September depan dijangka dapat mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam sektor telekomunikasi, kecerdasan buatan (AI) dan ketersambungan di rantau ini.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata acara anjuran GSM Association (GSMA) itu akan menghimpunkan pemain industri, vendor, pakar, pelabur, ahli akademik dan wakil kerajaan dari negara-negara ASEAN.
“Ini merupakan kali pertama acara ini diadakan di Malaysia dan juga di ASEAN. Pemilihan Kuala Lumpur sebagai bandar tuan rumah merupakan satu penghormatan bagi Malaysia.
"Acara ini juga akan menyediakan platform untuk negara-negara ASEAN membincangkan hala tuju sektor digital, termasuk usaha mengembangkan ketersambungan dan memanfaatkan AI secara bertanggungjawab," katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi meja bulat yang diadakan bersempena dengan pengumuman penganjuran M360 ASEAN 2026 dan pelancaran laporan The Mobile Economy Asia Pacific 2026 GSMA, di sini, hari ini.
Sementara itu, GSMA dalam satu kenyataan memaklumkan isu yang akan dibincangkan di M360 ASEAN 2026 turut dimasukkan ke dalam laporan tersebut yang mengunjurkan teknologi dan perkhidmatan mudah alih dijangka menyumbang US$1.4 trilion kepada ekonomi Asia Pasifik menjelang 2030, peningkatan 40 peratus daripada US$1 trilion ketika ini.
Menurut laporan itu, fasa seterusnya pertumbuhan digital rantau ini bukan sahaja akan dicorakkan oleh ketersambungan tetapi juga bagaimana kerajaan, pengendali dan penyedia teknologi bertindak balas terhadap empat keutamaan utama.
Empat keutamaan tersebut ialah peningkatan pesat AI, kemerosotan kepercayaan terhadap digital, permintaan untuk infrastruktur digital yang lebih berdaya tahan dan minat yang semakin meningkat terhadap kedaulatan digital.
-- BERNAMA