Lotte Chemical Titan Catat Rugi Bersih Lebih Besar Pada Suku Kedua Kepada RM174.2 Juta

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Lotte Chemical Titan Holding Bhd mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar iaitu RM174.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 daripada RM173.08 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku yang dinilai meningkat kepada RM3.10 bilion daripada RM1.43 bilion sebelumnya.

“Perolehan melonjak sebanyak 116 peratus atau RM1.67 bilion terutamanya dipacu oleh sumbangan daripada projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) yang mula beroperasi secara komersial pada Oktober 2025 serta harga jualan purata yang lebih tinggi bagi suku berkenaan.

Ad Banner

“Penurunan itu bagaimanapun sebahagiannya diimbangi oleh penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit,” menurutnya dalam makluman ke Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan mencatatkan kadar penggunaan loji secara purata 50 peratus daripada 46 peratus bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penambahbaikan ini sebahagian besarnya dipacu oleh pengeluaran tambahan hasil daripada projek LINE.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jang Seon Pyo, perniagaan Lotte Chemical Titan kekal terkesan oleh ketegangan geopolitik global serta ketidaktentuan makroekonomi yang menyebabkan persekitaran operasi menjadi lebih mencabar.

Katanya, keadaan berkenaan mengganggu rantaian bekalan global, menekan sentimen pasaran serta menyumbang kepada ketidaktentuan harga minyak mentah, harga nafta serta harga jualan purata.

“Selain itu, pasaran serantau terus berdepan ketidakseimbangan di antara penawaran dengan permintaan serta tekanan harga berikutan penambahan kapasiti yang mengatasi kadar pertumbuhan permintaan.

“Kami akan terus memantau rapi perkembangan geopolitik dan pasaran selain mengadaptasi operasi demi mencapai sasaran perniagaan dan memenuhi jangkaan pihak berkepentingan,” kata beliau.

-- BERNAMA