Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Rendah
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup kebanyakannya rendah hari ini selepas harga tenaga dan minyak kacang soya menjadi lebih lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata jangkaan peningkatan pengeluaran dan paras inventori yang agak tinggi di negara ini turut mempengaruhi sentimen.
“Kami melihat harga disokong melebihi paras RM4,650 satu tan dan rintangan pada RM4,780 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak September 2026 turun RM21 kepada RM4,625 satu tan, Oktober 2026 susut RM16 kepada RM4,686 satu tan, November 2026 merosot RM12 kepada RM4,733 satu tan, Disember 2026 jatuh RM8 kepada RM4,775 dan Januari adalah RM2 lebih rendah kepada RM4,815 satu tan.
Sementara itu, kontrak Ogos 2026 menambah RM15 kepada RM4,534 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 85,066 lot berbanding 109,598 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 312,050 kontrak daripada 309,063 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal RM524 bagi Selatan Ogos turun RM20 kepada RM4,540 satu tan.
-- BERNAMA