Niaga Hadapan Emas Dijangka Sekitar US$4,250 Hingga US$4,350 Minggu Depan
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meneruskan kenaikan pada minggu depan, disokong oleh harga emas semerta yang lebih kukuh dan diunjurkan mencecah antara US$4,250 hingga US$4,350 setiap auns troy selain menjejaki prestasi emas di Bursa Komoditi (Comex) Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas semerta mempamerkan prestasi berdaya tahan minggu ini apabila melonjak ke paras US$4,305.69 setiap auns troy.
Katanya, kenaikan itu sejajar dengan kemerosotan harga minyak mentah susulan laporan mengenai prospek pembukaan semula Selat Hormuz.
Beliau juga memaklumkan laporan terkini daripada Majlis Emas Dunia menunjukkan bahawa permintaan terhadap dana dagangan bursa (ETF) emas kekal menggalakkan, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih sebanyak US$3 bilion dalam pasaran emas sepanjang Julai.
Ini sekali gus memulihkan aliran keluar bagi dua bulan berturut-turut sebelum ini.
“Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai arah tuju kadar faedah AS akan mengehadkan kenaikan harga emas,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.
Dalam pada itu, Pakar Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes menyatakan emas berdepan tekanan buat seketika pada malam Khamis berikutan peningkatan semula harga minyak yang membangkitkan kebimbangan inflasi, sebelum pulih kembali dalam tempoh yang singkat.
"Logam berharga berkenaan sejak itu kembali melepasi paras US$4,300 setiap auns troy dengan kebimbangan fiskal, permintaan berterusan bank pusat serta pembelian runcit yang kukuh di Asia terus memberikan sokongan belian yang teguh,” katanya.
Secara perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta baharu Ogos 2026 mengukuh kepada US$4,322.90 setiap auns troy semalam daripada US$4,067.90 setiap auns troy pada Jumaat lepas manakala kontrak September 2026 melonjak kepada US$4,335.80 setiap auns troy daripada US$4,080.00 setiap auns troy.
Kontrak Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing meningkat kepada US$4,349.20 setiap auns troy daripada US$4,110.50 pada akhir minggu sebelumnya.
Kontrak November 2026 berada pada US$4,349.20 setiap auns troy.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 1,263 lot daripada 776 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 477 kontrak daripada 359 kontrak minggu sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,267.85 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 6 Ogos, 2026.
-- BERNAMA