BERITA TERKINI   Kerajaan akan beri lebih penekanan kepada “Ekonomi Rakyat” pastikan prestasi ekonomi dirasai dan dinikmati rakyat - Fahmi | ADUN Nilai J. Arul Kumar dilantik Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini (10 Ogos) - Loke | Inisiatif kabel dasar laut pesisir pantai dijangka sedia internet lebih pantas, mampu milik dan rancakkan ekonomi digital Sabah - Fahmi | Kementerian Komunikasi komited pastikan pembangunan infrastruktur digital di Sabah ikut jadual dan kos – Fahmi | JENDELA Fasa II: Beberapa lokasi di Sabah dikenal pasti sebagai tapak percubaan teknologi internet satelit terus ke peranti - Fahmi | 

Institusi Tempatan Teruskan Pembelian Bersih Dua Minggu Berturut-Turut Di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan pembelian bersih mereka di Bursa Malaysia selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM451.1 juta minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam Laporan Aliran Dana mingguan bagi minggu berakhir 7 Ogos, 2026, bank pelaburan itu memaklumkan purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara menyeluruh, dengan jumlah dagangan pelabur runcit meningkat 35.4 peratus dan institusi tempatan naik 24.1 peratus, manakala jumlah dagangan institusi asing menyusut sebanyak 5.2 peratus.

Sementara itu, pelabur runcit meneruskan trend jualan bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM13.8 juta.

Ad Banner

Pada minggu yang sama, institusi asing kembali mencatatkan jualan bersih selepas merekodkan pembelian bersih pada minggu sebelumnya dengan aliran keluar bersih sebanyak RM437.3 juta.

"Institusi asing merupakan pembeli bersih pada satu daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan, dengan satu-satunya aliran masuk dicatatkan pada Rabu (RM53.7 juta)," menurut MBSB IB.

Bagaimanapun, aliran keluar bersih dicatatkan pada Jumaat (RM238.0 juta), diikuti Khamis (RM175.3 juta), Isnin (RM57.9 juta) dan Selasa (RM19.8 juta), dengan Jumaat merekodkan jualan bersih harian tertinggi," tambahnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ia memaklumkan tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing adalah pengangkutan dan logistik (RM97.6 juta), pembinaan (RM48.1 juta) dan hartanah (RM5.8 juta).

"Tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar bersih asing adalah perkhidmatan kewangan (RM173.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM115.2 juta) serta perladangan (RM92.2 juta)," jelasnya.

Dalam kalangan lapan pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB IB, pelabur asing meneruskan trend jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan jumlah keseluruhan aliran keluar bersih asing mencecah US$3.64 bilion.

Aliran keluar bersih terbesar ialah Korea Selatan, diikuti oleh Thailand, Malaysia dan Filipina, manakala aliran masuk bersih diketuai oleh India, diikuti oleh Taiwan, Vietnam dan Indonesia.

-- BERNAMA