Belanjawan 2027: Kementerian Ekonomi Sedang Saring Cadangan Peruntukan Pembangunan
GEORGE TOWN, 10 Ogos (Bernama) -- Kementerian Ekonomi kini berada pada peringkat akhir proses saringan cadangan peruntukan pembangunan bagi Belanjawan 2027 sebelum dapatan dan cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) menjelang pertengahan bulan ini.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata proses penyediaan belanjawan melibatkan beberapa peringkat termasuk pengumpulan cadangan daripada agensi di bawahnya sebelum cadangan itu diserahkan kepada kementerian untuk diselaraskan.
“Jangkaan saya, segala proses di Kementerian Ekonomi akan selesai menjelang pertengahan bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Bakat STEM di Tech Dome Penang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Akmal Nasrullah berkata proses itu bukan sahaja meneliti cadangan peruntukan baharu, malah turut mengambil kira projek sambungan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan secara berkesan.
Beliau berkata kementerian turut memastikan perancangan yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diambil kira dalam penyediaan peruntukan pembangunan 2027, khususnya dari segi keupayaan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang.
“Sebahagiannya telah diluluskan dalam RP1 (Rolling Plan 1) tetapi untuk RP2, sudah pasti ada beberapa perkara dari segi keperluan sama ada infrastruktur, dana atau bagaimana pembangunan kerajaan dapat dipercepat ke arah industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) yang dicadangkan,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, perancangan pembangunan bagi 2027 akan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan pelaksanaan RMK13.
-- BERNAMA