Perbincangan Pelaburan TH Perlu Adil, Tidak Semua Kerugian Berpunca Daripada Salah Laku
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Perbincangan mengenai pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilakukan secara adil memandangkan setiap pelaburan institusi itu mempunyai risiko dan tidak semua kerugian yang dialami berpunca daripada salah laku, kata Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata semua pihak sepatutnya boleh membezakan kerugian yang berlaku disebabkan turun naik pasaran atau dibuat menerusi keputusan yang cuai, konflik kepentingan atau kegagalan proses takbir urus.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan yang mengalami kemerosotan, katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan RCI TH di Parlimen di sini hari ini.
Selain itu, lantikan anggota Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi TH perlu berasaskan kriteria khusus, termasuk kepakaran dan pengalaman dalam bidang pelaburan.
Aminuddin berkata TH mesti diuruskan oleh individu yang layak dan bukan sekadar individu yang dikenali.
“Kita perlu mengubah budaya pelantikan jawatan dalam TH, tidak boleh dianggap sebagai jawatan penghargaan. Ia juga bukan tempat untuk memberikan kedudukan kepada orang yang mempunyai hubungan politik. Ia bukan tempat untuk mengumpul pengaruh, ia adalah amanah profesional,” katanya.
Beliau berkata RCI turut mencadangkan pindaan Akta Tabung Haji bagi melarang ahli politik aktif daripada dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah TH serta anak syarikatnya.
“RCI juga mencadangkan kriteria khusus berkaitan kepakaran bagi pelantikan anggota lembaga pengarah.
“Saya mencadangkan kita pergi lebih jauh, setiap calon lembaga mesti melalui saringan yang jelas, berdasarkan integriti, pengalaman, pelaburan, kewangan Islam, pengurusan risiko, audit perakaunan, undang-undang, takbir urus korporat dan pengurusan haji. Konflik kepentingan mesti diisytiharkan,” kata Aminuddin.
Sementara itu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menggesa supaya satu RCI baharu diwujudkan bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh tersebut.
“Secara keseluruhan saya mendapati masih banyak lagi perkara yang terlepas pandang daripada RCI ini, antaranya tempoh masa yang terhad daripada 2014 hingga 2020, sedangkan banyak perkara yang penting berlaku terhadap TH pasca 2020.
“Tempoh masa RCI ini sepatutnya dipanjangkan lagi sehingga sekurang-kurangnya pada 2025,” katanya.
Sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia, beliau turut mencadangkan supaya isu berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH dibawa ke PAC untuk diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci, khususnya bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan RCI mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
-- BERNAMA