Tengku Zafrul Gesa Kerjasama Lebih Kukuh ASEAN Tingkat Keterjaminan Tenaga
KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- ASEAN memerlukan kerjasama serantau yang lebih padu untuk memperkukuh keterjaminan tenaga dan menangani cabaran penyelarasan modal yang dihadapi rantau ini dalam usaha peralihan tenaganya.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata terdapat jurang pelaburan yang besar, dengan ASEAN memerlukan anggaran US$200 bilion (US$1 = RM4.09) setiap tahun sehingga 2030 untuk membiayai peralihan tenaganya.
Beliau berkata meskipun hampir semua ekonomi ASEAN komited kepada pelepasan sifar bersih, projek masih mengambil masa terlalu lama untuk mencapai daya maju kewangan, rangka kerja kawal selia masih tidak sekata, pembiayaan rentas sempadan terhad dan mekanisme perkongsian risiko tidak mencukupi.
“Kita tidak ada masalah dalam menyasar matlamat. Kita mempunyai masalah dalam penyelarasan modal,” katanya menerusi ucap tama bertajuk “Merapatkan Jurang Pelaburan dalam Peralihan Tenaga Serantau” pada Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul menggariskan tiga langkah serantau yang boleh dilaksanakan ASEAN, bermula dengan Grid Kuasa ASEAN (APG), yang disasarkan untuk diintegrasikan sepenuhnya menjelang 2045.
Beliau berkata grid bersepadu itu akan membolehkan sumber tenaga pelbagai dari rantau ini, termasuk kuasa hidro dari Laos, tenaga geoterma dari Indonesia, tenaga angin dari Vietnam dan kuasa solar dari Malaysia, saling memperkukuh antara satu sama lain.
Kedua, Tengku Zafrul mencadangkan Kemudahan Pelaburan Hijau ASEAN yang akan menggabungkan modal kerajaan , pencen dan swasta untuk mengurangkan risiko projek strategik di seluruh rantau ini.
"Ini kerana perbendaharaan tidak perlu menanggungnya seorang diri," katanya.
Akhir sekali, Tengku Zafrul menggesa protokol kecemasan bersama, rizab bahan api bersama, komunikasi krisis yang diselaraskan dan pemantauan rantaian bekalan serantau bagi memperkukuh kesiapsiagaan ASEAN untuk mendepani gangguan pada masa hadapan.
"(Ini) supaya kejutan seterusnya tidak melanda rantau ini seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.
Tengku Zafrul juga berkata Malaysia bersedia untuk menerajui agenda tenaga serantau melalui inisiatif termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Pelaburan Hijau.
"Kita perlu saling bekerjasama. Jurang bersifat serantau. Kejutannya juga bersifat serantau. Penyelesaiannya juga mesti bersifat serantau.
"Kita perlu bertindak pantas, kerana setiap hari kita menunggu, pendedahan akan menjadi lebih besar. Marilah kita bertindak bersama-sama, kerana rantau yang berpecah belah adalah rantau yang terdedah, dan rantau yang bersatu padu adalah rantau yang teguh," katanya.
-- BERNAMA