Digital Penang Sasar 2,000 Pengguna Platform Padanan Digital PKS Dalam Masa Enam Bulan
GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Digital Penang menyasarkan sebanyak 2,000 pengguna memanfaatkan Platform Padanan Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kendaliannya dalam tempoh enam bulan pertama sejak pelancarannya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi mempercepat penerimagunaan digital dalam kalangan PKS di Pulau Pinang.
Beliau berkata platform itu dibangunkan untuk membantu PKS mengenal pasti penyedia penyelesaian digital bersesuaian dan berdasarkan keperluan perniagaan, operasi dan belanjawan berkaitan.
“Ramai pemilik perniagaan mengakui keperluan untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan libat urus pelanggan, pengautomasian proses rutin dan mengembangkan jangkauan pasaran mereka.
“Namun, apa yang mencabar adalah untuk mengenal pasti penyelesaian, penyedia dan pendekatan yang tepat bagi keperluan serta peruntukan perniagaan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Platform Padanan Digital PKS di sini, hari ini.
Zairil berkata platform itu membolehkan kalangan PKS meneroka penyelesaian dalam bidang seperti pemasaran digital, e-dagang, automasi, pengurusan hubungan pelanggan, penggunaan data dan operasi perniagaan.
Pada masa sama, penyedia penyelesaian digital itu dapat mengetengahkan keupayaan mereka selain berhubung aktif dengan perniagaan yang mahu mendapatkan sokongan digital secara praktikal.
Selain itu pada majlis hari ini, Digital Penang turut melancarkan Eventree.my iaitu platform pusat bagi membantu kalangan penduduk, pengunjung dan komuniti Pulau Pinang mengetahui acara serta aktiviti yang berlangsung di negeri itu.
Platform itu menghimpunkan senarai termasuk program perniagaan dan teknologi, sesi latihan, pameran, acara kebudayaan, pengalaman pelancongan dan aktiviti komuniti selain menyediakan saluran tambahan bagi penganjur untuk menjangkau khalayak lebih meluas.
Zairil berkata maklumat mengenai acara sering tersebar di pelbagai laman web, platform media sosial dan saluran komunikasi lain yang menyebabkan orang awam berkemungkinan terlepas peluang yang ada.
“Eventree.my online bukan sekadar kalendar acara. Ini adalah usaha praktikal untuk menjadikan Pulau Pinang lebih dikenali, lebih terhubung dan mudah diakses,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang Ng Kwang Ming berkata kedua-dua platform itu dibangunkan bagi menangani jurang dari segi keterlihatan serta akses dalam ekosistem digital negeri.
Beliau juga menyifatkan Platform Padanan Digital PKS berkenaan akan memudahkan perniagaan mengenal pasti sokongan sesuai manakala Eventree.my secara dalam talian menawarkan satu platform tunggal bagi orang ramai mengetahui aktiviti serta peluang di sekitar Pulau Pinang.
-- BERNAMA