BERITA TERKINI   Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara Presint 20 pada 6.36 petang | LTdL 2026: Pelumba Tudor Pro Cycling Team Lennart Jasch menang peringkat kedua dari Taiping ke Gunung Jerai | Jenazah Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya - Fahmi | 

KDNK Negara Melonjak Enam Peratus Pada Suku Kedua 2026, Catat Prestasi Kukuh - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kadar pertumbuhan angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara melonjak pada enam peratus pada suku kedua 2026, mengatasi jangkaan pasaran sekali gus mencatat prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata KDNK negara melonjak meskipun ekonomi dunia semakin perlahan akibat krisis bekalan global dan pergolakan di Asia Barat.

“Kekuatan ini dimungkinkan oleh ikhtiar Kerajaan MADANI untuk memastikan kehidupan rakyat terbanyak tidak terjejas teruk oleh tempias inflasi dunia rentetan krisis di Asia Barat.

Ad Banner

“Selain bantuan seperti BUDI MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA), banyak yang telah diusahakan Kerajaan MADANI di sebalik tabir untuk mengawal harga serta memastikan bekalan terus mencukupi,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata masih banyak yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI untuk memastikan bukan sahaja momentum pertumbuhan itu kekal lestari, tetapi kekayaan dan kemajuan negara dapat dikecapi bersama oleh seluruh rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan kekal pada landasan reformasi untuk mengangkat darjat rakyat dan mengukuhkan asas ekonomi tanah air yang tercinta,” kata Anwar.

Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA