BERITA TERKINI   Jadikan Kongres Nasional PKR medan muhasabah, nilai pencapaian - PM Anwar | PKR perlu terus berperanan sebagai gerakan massa, junjung integriti, keadilan sosial dan amanah rakyat - PM Anwar | Keadaan TPM Fadillah bertambah baik seperti dijangka pasukan petugas kesihatan - IJN | TPM Fadillah selamat jalani pembedahan pintasan jantung Rabu lepas - Pejabat TPM | Lonjakan KDNK mengatasi jangkaan pasaran, catat prestasi pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014 - PM Anwar | 

Bank Pelaburan Kekal Positif, Unjur KDNK 2026 Malaysia 4.8-5.4 Peratus

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Bank-bank pelaburan kekal positif terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 dan menjangkakan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang dalam julat 4.8 hingga 5.4 peratus.

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan berkenaan pada 5.4 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pengukuhan berterusan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E).

Menurut bank pelaburan itu, pertumbuhan separuh pertama 2026 yang memberangsangkan pada 5.8 peratus serta angka pertumbuhan 6.0 peratus yang mengatasi jangkaan awal dalam suku kedua 2026, hanya mengukuhkan lagi pandangannya yang konstruktif.

Ad Banner

“Walaupun kami kekal berhati-hati terhadap risiko luaran, termasuk ketidaktentuan geopolitik yang ketara serta dasar tarif, (kami menganggap) Malaysia dalam kedudukan kukuh untuk menangani kesemua cabaran ini.

“Keadaan itu disokong oleh struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai, penyepaduan mendalam dalam rantaian bekalan serantau dan global selain usaha berterusan bagi mempelbagaikan pasaran eksport dan meningkatkan tawaran produk,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Berkongsi sentimen sama, MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 pada 5.1 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini, dipacu oleh pertumbuhan yang memberangsangkan pada separuh pertama 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan awal juga memaparkan rangsangan positif daripada pemulihan dalam perdagangan luar yang dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk E&E serta produk petroleum.

“Oleh itu, secara keseluruhan, kami mengunjurkan peningkatan permintaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan, disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan pendapatan lebih tinggi manakala inflasi kekal terkawal,” menurut MBSB IB.

CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) pula mengekalkan unjuran KDNK pada 4.8 peratus bagi 2026, disokong oleh eksport bersih dan pemulihan sektor perlombongan berikutan impak asas berbanding permintaan domestik yang susut kepada 5.1 peratus daripada 5.2 peratus bagi suku pertama 2026.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan akan menyederhana pada separuh kedua 2026 susulan kesan asas lebih tinggi daripada separuh kedua 2025 manakala konflik Asia Barat ketika ini mempengaruhi sentimen dan aktiviti domestik,” menurutnya.

Bagi dasar monetari, RHB IB dan CIMB IB mengekalkan unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 2.75 peratus.

“Dasar monetari berkemungkinan besar kekal ditentukan oleh data dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari akan datang dengan keputusan akhir bergantung kepada prospek pertumbuhan ekonomi serta momentum inflasi asas,” menurut RHB IB.

-- BERNAMA