BERITA TERKINI   MCMC kenal pasti lebih 10,000 akaun palsu sebar isu 3R setakat semalam -- Fahmi | UKK di setiap kementerian perlu perhalusi cara perjelas kesan sebenar dasar dan pencapaian kerajaan - Fahmi | Kerajaan sasar 50 peratus pengurangan kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Perancangan penyuraian trafik diteliti elak kesesakan baharu operasi RTS Link Johor Bahru–Singapura - Ahmad Zahid | Inflasi Malaysia menurun kepada 1.8 peratus pada Julai 2026 daripada 1.9 peratus pada Jun 2026 - DOSM | 

Kenanga IB Kekal Unjur Inflasi 2026 Pada 2.1 Peratus

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada 2.1 peratus bagi 2026, meningkat daripada 1.4 peratus pada 2025, dengan tekanan harga domestik kekal terkawal meskipun risiko tenaga kembali meningkat.

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu memaklumkan subsidi bersasar terus membantu mengurangkan kesan langsung turun naik harga bahan api global terhadap isi rumah.

Bagaimanapun, Kenanga IB memberi amaran bahawa beberapa risiko peningkatan masih wujud, khususnya berikutan rundingan Amerika Syarikat (AS)-Iran mengenai pembukaan semula Selat Hormuz yang terhenti, yang boleh menjejaskan bekalan minyak global.

Ad Banner

“Harga minyak mentah yang lebih tinggi boleh meningkatkan kos pengangkutan, makanan dan pengeluaran, manakala gangguan yang berpanjangan akan meningkatkan risiko kesan inflasi pusingan kedua yang lebih meluas.

“Gangguan cuaca berkaitan El Nino juga kekal sebagai risiko peningkatan kepada inflasi makanan,” menurutnya.

Mengenai prospek dasar monetari, Kenanga IB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, memandangkan inflasi asas kekal terkawal dan permintaan domestik terus berdaya tahan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dengan risiko semasa sebahagian besarnya berpunca daripada faktor penawaran, BNM berkemungkinan menganggap pergerakan harga tenaga yang bersifat sementara sebagai faktor yang tidak memerlukan tindak balas dasar, melainkan ia mencetuskan tekanan inflasi pusingan kedua yang lebih meluas dan berterusan,” menurutnya.

Unjuran inflasi itu dibuat susulan penerbitan data Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menunjukkan inflasi keseluruhan mereda kepada 1.8 peratus tahun ke tahun, berbanding 1.9 peratus pada Jun.

Angka itu menepati unjuran Kenanga IB tetapi sedikit lebih rendah daripada konsensus pasaran sebanyak 1.9 peratus.

-- BERNAMA