CIMB Niaga Antara Lapan Penyedia Kad Kredit Indonesia Untuk Pembayaran QRIS

JAKARTA, 17 Ogos (Bernama) -- CIMB Niaga menjadi antara lapan penyedia perkhidmatan pembayaran yang terlibat dalam pelancaran Kad Kredit Indonesia (KKI) oleh Bank Indonesia (BI) pada Isnin.

KKI menawarkan pilihan pembayaran kredit baharu kepada individu dan perniagaan bagi transaksi menerusi sistem pembayaran Quick Response Code Indonesian Standard (QRIS) negara itu.

CIMB Niaga Tbk merupakan bank keenam terbesar di Indonesia dari segi aset dan majoriti sahamnya dimiliki oleh CIMB Group yang berpangkalan di Malaysia.

Ad Banner

Pemangku Gabenor Bank Indonesia Destry Damayanti berkata inisiatif yang dilancarkan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-81 itu bertujuan memastikan kemajuan sistem pembayaran menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain memberikan manfaat kepada rakyat.

“Dasar ini lahir daripada keyakinan bahawa ia merupakan sumbangan secara langsung Bank Indonesia bersama industri sistem pembayaran kepada negara Indonesia, selain menjadi hadiah kemerdekaan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 17 Ogos, sebanyak lapan penyedia perkhidmatan pembayaran telah mengeluarkan KKI iaitu BCA, Bank Mandiri, BNI, BRI, CIMB Niaga, Permata Bank, Bank Mega dan BSI, dengan BSI membangunkan skim pembiayaan patuh syariah, kata BI.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut bank pusat itu, setakat Jun pula QRIS mempunyai 65.77 juta pengguna dan 44.86 juta peniaga, dengan 96.68 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Sebanyak 12.55 bilion transaksi bernilai 1.12 kuadrilion rupiah direkodkan pada separuh pertama 2026.

Sementara itu, Agensi Berita Antara melaporkan KKI yang sebelum ini hanya dikeluarkan kepada agensi kerajaan pusat dan wilayah bagi menyokong perbelanjaan kerajaan, kini diperluas kepada individu dan syarikat untuk perkhidmatan konvensional serta patuh syariah, dengan pelancaran awal dalam bentuk kad digital.

Ketua Jabatan Dasar Sistem Pembayaran BI Ryan Rizaldy dipetik sebagai berkata bahawa KKI kemudiannya akan dibangunkan bagi memudahkan pembayaran dalam talian serta transaksi luar talian menggunakan kad fizikal.

-- BERNAMA