Petronas Chemicals Raih Untung Bersih RM414 Juta Berbanding Rugi Bersih RM1.08 Bilion
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) meningkat ketara kepada RM414 juta pada suku kedua berakhir pada 30 Jun 2026 berbanding kerugian bersih RM1.08 bilion bagi tempoh sama setahun sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu memaklumkan prestasi pendapatan kukuh itu diraih susulan permintaan memberangsangkan serta dan peningkatan margin produk walaupun telah melaksanakan aktiviti penyelenggaraan utama yang mengehadkan jumlah pengeluaran dan jualan.
Perolehan hasilnya meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM7.90 bilion daripada 6.43 bilion sebelumnya, didorong oleh harga purata produk yang lebih tinggi membabitkan komoditi serta portfolio bahan kimia khusus serta peningkatan sumbangan daripada aktiviti strategik dan perdagangan.
PCB mengumumkan dividen interim sebanyak enam sen sesaham berjumlah RM480 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2026.
Bagi tempoh enam bulan atau separuh pertama 2026, PCB telah meraih keuntungan bersih sebanyak RM815 juta berbanding kerugian bersih RM1.09 bilion sebelum ini manakala hasil meningkat sedikit kepada RM14.91 bilion daripada RM14.09 bilion setahun lepas.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mazuin Ismail menyifatkan suku kedua itu sebagai tempoh mencabar dari segi operasi merangkumi aktiviti penyelenggaraan besar-besaran yang telah dirancang di beberapa fasiliti di Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh (KIPC), Terengganu serta loji urea di Bintulu, Sarawak.
“Kami mengekalkan komitmen terhadap aspek operasi yang selamat dan boleh dipercayai dengan bertindak menyiapkan aktiviti penyelenggaraan berkaitan tanpa sebarang insiden besar membabitkan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata PCG turut mencatatkan prestasi kewangan lebih baik, disokong oleh peningkatan margin purata produk walaupun dalam realiti konflik Asia Barat yang berlarutan.
“Kami juga bertindak memanfaatkan peluang peningkatan pasaran dengan mengutamakan pelanggan di peringkat domestik dan serantau, memaksimumkan peluang jualan pasaran semasa selain memanfaatkan aktiviti perolehan dan perdagangan bagi mengukuhkan lagi pendapatan,” katanya.
Mazuin turut berkongsi komitmen PCG untuk kekal fokus terhadap pelaksanaan operasi secara selamat, disiplin operasi dan daya tahan perniagaan.
Ini juga sejajar dengan persiapan kumpulan untuk melaksanakan satu lagi aktiviti penyelenggaraan besar-besaran yang telah dirancang bagi Loji 2 Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd serta meneruskan peningkatan operasi Pengerang Petrochemical Co Sdn Bhd pada suku ketiga tahun kewangan itu.
-- BERNAMA