JS-SEZ Alih Tumpuan Kepada 'Inovasi Rentas Sempadan' - Presiden AutomationSG
JOHOR BAHRU, 19 Ogos (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berfungsi sebagai pintu masuk serantau transformatif dengan memanfaatkan sinergi struktur antara kedua-dua ekonomi, mengubah paradigma daripada perdagangan rentas sempadan kepada inovasi rentas sempadan.
Presiden AutomationSG Singapura Terence Teo percaya pandangan lapuk tentang Singapura dan Johor sebagai destinasi perkilangan yang saling bersaing telah berubah kepada menjadi ekosistem kolaboratif.
"Selama bertahun-tahun, Singapura dan Johor kadangkala dilihat sebagai lokasi pembuatan yang saling bersaing.
“Saya percaya pemikiran itu sudah ketinggalan zaman. Pada masa depan bukanlah Singapura bersaing dengan Johor; sebaliknya Singapura dan Johor saling bergandingan," katanya semasa berucap pada majlis pembukaan Pameran Perindustrian Johor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini, hari ini.
Teo berkata JS-SEZ membolehkan industri serantau menggabungkan keupayaan teknologi dan kewangan bernilai tinggi Singapura dengan skala dan kapasiti Johor.
"JS-SEZ menyediakan potensi untuk kita menggabungkan kekuatan kedua-dua ekonomi. Singapura membawa ketersambungan global, penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih, pembangunan teknologi, keupayaan kewangan dan akses kepada pasaran antarabangsa.
"Manakala Johor menyediakan tanah perindustrian, kapasiti pengeluaran, infrastruktur, bakat dan peluang pengembangan yang luar biasa," katanya.
Teo menggariskan model baharu untuk penggunaan rantaian bekalan serantau yang boleh dilaksanakan di bawah zon ekonomi itu, dengan teknologi automasi generasi akan datang dibangunkan di Singapura, disahkan melalui institusi R&D, digunakan di seluruh kemudahan pembuatan di Johor, dan seterusnya diperluaskan merentasi pasaran ASEAN yang lebih luas.
"Saya percaya potensi sebenar JS-SEZ adalah untuk berfungsi sebagai pintu masuk bagi ASEAN. Peluang ini jauh melangkaui Singapura dan Johor. ASEAN hari ini mewakili populasi seramai 680 juta dan semakin penting kepada strategi pembuatan dan rantaian bekalan global," katanya.
Ketika syarikat global giat mencari lokasi yang menawarkan daya tahan, ketersambungan, teknologi, bakat dan akses langsung kepada pasaran pertumbuhan beliau percaya Singapura dan Johor boleh berganding bahu menawarkan peluang ini.
"Justeru, sasaran kita seharusnya lebih daripada hanya sekadar menarik kilang lain atau pelaburan lain. Kita harus membina ekosistem perindustrian yang dunia ingin sertai," tegas Teo.
Beliau berkata ekosistem itu perlu menyediakan ruang dan peluang bagi syarikat untuk berinovasi bersama-sama, akses kepada teknologi canggih bagi PKS yang sebelum ini dikhaskan untuk syarikat multinasional, automasi progresif bagi pengeluar dan melengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk beroperasi bersama kecerdasan buatan (AI), robotik dan mesin pintar.
Dalam menangani cabaran operasi peringkat makro yang dihadapi pengeluar serantau seperti kekangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi, ketidakpastian rantaian bekalan dan piawaian kemampanan yang ketat, Teo berkata kaedah lama yang digunakan untuk tujuan pengembangan tidak lagi mencukupi.
"Formula lama kita yang hanya menambah lebih ramai pekerja dan lebih banyak kapasiti pengeluaran tidak lagi mencukupi. Kilang pada masa depan bukan sahaja perlu lebih besar; ia juga perlu lebih pintar," katanya.
Bagi menyokong peralihan perindustrian ini, Teo berkata AutomationSG sedang giat menggunakan kerangka Trusted Industrial AI Framework (TIA) persatuan itu yang dilancarkan pada akhir Julai, untuk membantu PKS serantau dalam menerima pakai penyelesaian AI dengan tadbir urus, keselamatan dan pematuhan operasi yang betul.
Pameran Perindustrian Johor 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 21 Ogos itu dianjurkan oleh FBI Publications (M) Sdn Bhd.
Pameran itu menghimpunkan pemboleh daya teknologi perindustrian, penyepadu robotik dan penyedia pembuatan pintar untuk mempercepatkan penerimaan Industri 4.0 di seluruh hab perindustrian Johor yang semakin berkembang.
-- BERNAMA