P. Pinang Harap PIFC Diluluskan Menerusi Belanjawan 2027
GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang berharap cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) mendapat kelulusan dan komitmen Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027, bagi memperkukuh akses pembiayaan khususnya untuk sektor teknologi dan semikonduktor di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri bersedia membentangkan cadangan berkenaan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan kertas putih yang disediakan oleh perunding yang dilantik.
Beliau berkata PIFC bukan bertujuan bersaing dengan pusat kewangan sedia ada seperti Kuala Lumpur dan Labuan atau Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, sebaliknya memberi tumpuan kepada kekuatan Pulau Pinang sebagai hab teknologi serantau dan global.
“Tujuan PIFC bukan untuk bersaing dengan Kuala Lumpur, Labuan atau Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, tetapi kita perlu membezakan pusat kewangan di Pulau Pinang berdasarkan asas kukuh negeri ini sebagai hab teknologi di dunia dan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri SC Penang Semicon Roadshow bertemakan ‘Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough’ di sini hari ini.
Menurut Chow, antara perkara utama yang mahu ditangani menerusi PIFC ialah penyediaan akses pembiayaan yang lebih baik bagi menyokong pembangunan teknologi serta merealisasikan potensi industri berkenaan di Pulau Pinang.
Katanya, Pulau Pinang telah membina asas ekosistem perindustrian yang kukuh sejak beberapa dekad, disokong kehadiran syarikat multinasional, infrastruktur, taman perindustrian, syarikat berpengalaman serta tenaga kerja berkemahiran.
Bagaimanapun, beliau berkata aspek pembiayaan masih perlu diperkukuh, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mahu mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Hubungan yang lebih kukuh antara PKS, syarikat multinasional, teknologi, bakat dan modal mampu membentuk ekosistem semikonduktor yang lebih kukuh di Pulau Pinang,” katanya.
Chow berkata tumpuan Pulau Pinang terhadap bidang reka bentuk litar bersepadu (IC) sejak kira-kira dua tahun lepas turut menunjukkan perkembangan menggalakkan ketika negeri itu berusaha beralih kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, melangkaui kekuatan tradisionalnya dalam bidang pemasangan dan pengujian.
Beliau berkata peralihan itu memerlukan sokongan pembiayaan yang lebih kukuh bagi membolehkan syarikat tempatan, khususnya PKS, meningkatkan keupayaan, mengembangkan operasi dan menembusi pasaran global.
“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan komitmen jelas terhadap cadangan PIFC menerusi Belanjawan 2027, sekali gus membolehkan kerajaan negeri meneruskan perancangan seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA