YTL Power, JLand Group Bekerjasama Bangunkan Kampus Pusat Data Berskala Gigawatt Di Johor
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- YTL Power International Bhd dan JLand Group menjalin kerjasama strategik untuk membangunkan kampus pusat data baharu berskala gigawatt di Sedenak Tech Park West (STeP), Johor.
Kerjasama strategik itu melibatkan JLand Group menerusi anak syarikatnya, JLG Technopark Sdn Bhd manakala YTL Power International menerusi anak syarikatnya SIPP Power Sdn Bhd.
“Di bawah pengaturan itu, SIPP Power akan mengambil alih kira-kira 58.6 hektar tanah di STeP, dengan pilihan untuk memperoleh sehingga 162 hektar lagi bagi tujuan pengembangan pada masa depan, menjadikan keluasan kampus itu kira-kira 220 hektar kelak,” menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak hari ini.
Terletak di Ibrahim Technopolis (IBTEC), kampus YTL baharu itu akan terus memperkukuh kelompok infrastruktur digital yang semakin berkembang di IBTEC, selain mengukuhkan kedudukan Johor sebagai antara pasaran pusat data terkemuka di Asia Tenggara.
Kampus itu sekali gus melengkapi YTL Green Data Centre Park di Kulai, dengan kapasiti terancang sehingga 1.2 gigawatt.
“Secara keseluruhannya, kedua-dua kampus itu akan memberikan YTL Power kelebihan dan fleksibiliti untuk memenuhi permintaan serantau yang berkembang pesat bagi pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan digital yang sangat memerlukan kuasa tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan JLand Group Datuk Sr Akmal Ahmad berkata kumpulan itu menjangkakan sumbangan kepakaran YTL Power dan memanfaatkan rangkaiannya dalam kerjasama itu.
“Kerjasama ini bertujuan mewujudkan platform yang menarik pelaburan berkaitan, membuka peluang baharu serta mengukuhkan kedudukan Johor dalam ekonomi digital serantau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Power International Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata di samping kampusnya yang terus berkembang di Kulai, kampus di Sedenak akan mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab serantau terkemuka bagi AI, pengkomputeran awan dan inovasi digital.
“Pembangunan ini dijangka menyokong mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dalam sektor pembinaan, kejuruteraan, teknologi dan operasi pusat data.
“Ia juga dijangka menjana aktiviti ekonomi yang lebih meluas merentasi rantaian bekalan tenaga, infrastruktur dan teknologi berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA