BERITA TERKINI   Kerajaan masih berbincang anjur kembali F1 di Sepang, perlu diteliti termasuk kos - PM Anwar | UiTM disaran menubuhkan Jabatan Kuantum, pastikan negara mempunyai kepakaran mendepani kemajuan semasa - TPM Ahmad Zahid | GP Bahrain di Malaysia 2026 yang ditangguhkan akan bermula 4.33 petang - Formula 1 | Empat termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Timur Barat dari Kelantan ke Gerik - Bomba | 

MSIA Cadang Had Elaun Modal Automasi Naik Kepada RM100 Juta, Potongan Cukai R&D 200 Peratus

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) mencadangkan had perbelanjaan yang layak di bawah Elaun Modal Automasi dinaikkan kepada RM100 juta serta potongan cukai sebanyak 200 peratus diberikan bagi perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang layak menerusi Belanjawan 2027.

Menurut persatuan itu peningkatan kepada RM100 juta daripada RM10 juta itu akan dilihat lebih sepadan dengan skala pelaburan dalam automasi dan pembuatan termaju oleh industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata persaingan untuk mendapatkan pelaburan, teknologi dan bakat semakin sengit, sekali gus memerlukan dasar terus berkembang seiring dengan keperluan industri.

Ad Banner

“Meskipun usaha menarik pelaburan strategik baharu kekal penting, kita juga perlu mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi syarikat yang sudah beroperasi di Malaysia untuk terus membuat pelaburan semula, mengembangkan operasi, meningkatkan aktiviti R&D dan beralih kepada aktiviti bernilai lebih tinggi.

“Belanjawan 2027 merupakan peluang untuk memperkukuh asas-asas ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan MSIA bagi Belanjawan 2027 itu dirangka hasil rundingan dengan anggotanya dan dikemukakan kepada kerajaan menjelang pembentangan belanjawan pada 9 Oktober.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Untuk menggalakkan pelaburan semula dan pengembangan, MSIA mencadangkan rangka kerja insentif pelaburan yang mengambil kira keperluan berbeza bagi pelaburan strategik baharu, pelabur sedia ada yang mahu melabur semula dan mengembangkan operasi, serta syarikat milik Malaysia yang mahu berkembang ke peringkat global.

Antara cadangannya termasuk memperkukuh insentif pelaburan semula melalui Elaun Modal Dipercepatkan dan Elaun Pelaburan Semula, selain meningkatkan sokongan bagi automasi dan pembuatan termaju.

Bagi R&D dan aktiviti bernilai lebih tinggi, MSIA mencadangkan supaya skop aktiviti dan perbelanjaan R&D yang layak di bawah potongan cukai 200 peratus diperluas, dengan sokongan lebih kukuh merangkumi keseluruhan proses R&D bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk, pengujian, pengesahan dan pembangunan teknologi di Malaysia.

MSIA turut mencadangkan geran R&D bersasar bagi sektor semikonduktor dan E&E, infrastruktur penyelidikan yang boleh dikongsi serta kerjasama lebih erat antara industri dan universiti bagi memperkukuh keupayaan tempatan.

 

Pelaburan semula dan R&D merupakan antara enam tonggak yang diketengahkan dalam senarai harapan MSIA bagi Belanjawan 2027, selain mengurangkan kos dan kerumitan menjalankan perniagaan; membangunkan, mengekalkan dan mendapatkan bakat kritikal; memodenkan rangka kerja duti setem; serta memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan.

Menurut MSIA, subsektor semikonduktor Malaysia mencatatkan RM16.9 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, sekali gus mencerminkan kepentingan berterusan negara dalam rangkaian pengeluaran semikonduktor global.

-- BERNAMA